Setiap insan pasti pernah merasa stress. Ada banyak hal dalam kehidupan ini yang menjadi penyebab stress seperti kehilangan barang kesayangan, ditinggal pergi oleh sanak saudara, gagal dalam peperiksaan, berhutang, dibuang dari pekerjaan dan lain-lain.
Antara tanda-tanda stress ialah sakit kepala, kesulitan untuk tidur, mudah marah, sensitif, mudah tersinggung, sukar fokus dan emosi sering tidak terkawal dengan baik. Perkara terburuk akibat stress ialah ada yang memilih untuk bunuh diri kerana tidak sanggup lagi menahan beban stress yang dihadapinya walhal mati bukanlah jalan terbaik untuk selesaikan masalah, melainkan hanya akan menambah masalah itu sendiri baik pada orang yang bunuh diri dan orang-orang yang ditinggalkan di dunia.
Dalam Islam, menghadapi segala bentuk masalah selalu ada jalan keluarnyakerana kita percaya bahawa semua itu adalah ujian yang diberikan oleh Allah SWT. Islam adalah solusi dari segala permasalahan, termasuk orang yang menghadapi stress hidup. Tidak benar jika seseorang bersikap lemah akan ujian hidup yang dijalani sementara Allah SWT sendiri menganjurkan pada manusia untuk tidak menjadi lemah. Firman Allah dalam al-Qur’an yang bermaksud:
“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman.” (Q. S. Ali ‘Imran : 139).
Masalah yang wujud bukan untuk diratapi, ditangisi, atau disesali. Untuk itu, tidak benar jika kita sebagai manusia, makhluk berakal dan paling tinggi darjatnya serta beriman kepada Allah SWT, goyah dalam menghadapi permasalahan hidup. Kita harus bijak mengatasi stress yang mendera dan berusaha untuk melaluinya dengan sabar.
Cara menghilangkan stress dalam Islam:
1. Niat yang ikhlas
Ikhlas merupakan hal paling dasar dalam setiap amal ibadah mahupun perbuatan yang kita lakukan. Ikhlas ibarat satu wadah yang menghubungkan kita terhadap jalan keselamatan menuju akhirat. Ikhlas juga menghadirkan ketenangan jiwa dalam diri kita dan menyelamatkan kita daripada azab Allah SWT.
2. Solat
Solat merupakan media untuk kita berkomunikasi kepada Allah SWT. Dengan menunaikan solat lima waktu serta mengerjakan solat sunnah yang telah dianjurkan, turut membantu menjaga ketenteraman hati sehingga mampu mengatasi segala permasalahan emosi yang kita rasakan. Dengan solat, kita dapat mendekatkan diri kepada Sang Pencipta yang mana tiada yang lebih baik selain menghadap kepada-Nya. Solat akan membuat kita lebih tenang dan damai. Segala kerisauan, beban masalah, ketidakstabilan emosi tidak akan mengganggu kita lagi asalkan kita solat dengan khusyu’. Shalat merupakan ubat pelbagai penyakit sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:
“Hai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.” (Q. S. Al-Baqarah : 153).
Dengan mengerjakan solat, kita juga akan sedar bahawa kita tidak pernah sendiri. Ada Allah SWT yang selalu bersama kita dan membantu setiap hamba-Nya yang kesusahan kerana Allah itu Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Allah selalu bersama kita.
3. Berzikir
Zikir bermaksud mengingat Allah, tidak hanya melalui lisan tetapi juga setiap perbuatan yang kita lakukan. Hadirkan Allah di setiap hela nafas kita dengan berzikir dan kita akan menjadi tenang. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (Q. S. Ar-Ra’d).
4. Beramal Soleh
kunci untuk mendapatkan kehidupan yang damai dan tenteram ialah dengan melakukan amal perbuatan yang baik dan menjauhi semua yang telah dilarang oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW. Orang-orang yang sentiasa beramal soleh, kehidupannya akan menjadi lebih baik di di dunia tdan akhirat kelak. Allah SWT berfirman:
“Barangsiapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.” (Q. S. An-Nahl : 97).
Beramal soleh boleh juga dilakukan dengan membaca al-Quran, bersedekah, membantu sesama manusia, berpuasa, ibadah haji mahupun umrah, berinfak, dan berdakwah untuk menyiarkan islam.
5. Berprasangka Baik
Stres boleh berlaku jika selalu memiliki prasangka buruk terhadap sesuatu. Bahkan, masalah kecil punboleh jadi besar jika kita selalu memikirkan hal-hal yang buruk. Islam mengajarkan kepada kita untuk berprasangka baik agar kita merasa tenang. Berprasangka baik dengan percaya bahawa Allah SWT ialah Pengatur segala sesuatu. Kita hanya perlu berusaha, apapun hasilnya kita serahkan kepada-Nya.
6. Taubat
Dari segi bahasa, taubat ertinya kembali. Menurut istilah, taubat ialah menjauhkan diri atau meninggalkan daripada perbuatan-perbuatan dosa dan memahami bahawa apa yang telah dilakukan itu adalah buruk, sehingga timbul rasa menyesal atas apa yang telah dilakukan dan bertekad untuk tidak akan pernah melakukan atau mengulangi perbuatan itu lagi. Inti daripada bertaubat adalah mengharapkan keampunan Allah SWT. Taubat mampu menghilangkan stress yang kita hadapi kerana dengan bertaubat, kita sedar bahawa kita ialah makhluk yang lemah. Diri kita tidak pernah lepas dari melakukan dosa dan kesalahan. Oleh itu, kita memerlukan keampunan daripada Allah agar mendapat kehidupan yang lebih baik lagi.
7. Menjaga Silaturrahim
Menjalinkan silaturrahim terhadap sesama manusia dengan ikhlas mengharap keredhaan Allah dapat menangani masalah stress. Tidak ada salahnya jika kita ingin berkongsi cerita terhadap sesama bagi meringankan beban fikiran dan mungkin kita dapat mencari penyelesaian dari pendapat orang lain sehingga cukup membantu kita mengatasi masalah. Asal tidak menimbulkan fitnah di kemudian hari atau jika kemungkinan terkandung mudarat di dalamnya, maka lebih baik tidak usah diceritakan atau disimpan dalam benak kita saja; lebih baik disampaikan kepada Allah saja.
No comments:
Post a Comment