Pengajaran KOMSAS dalam Bahasa Melayu

Pengajaran KOMSAS dalam Bahasa Melayu
Image by Cool Text: Free Graphics Generator - Edit Image


1.0 Pengenalan 
Bahasa Melayu dan sastera tidak dapat dipisahkan kerana bahasa dijadikan medium untuk menulis karya sastera. Hashim Awang et al.(1985:9) mendefinisikan kesusasteraan Melayu sebagai kesusasteraan yang lahir daripada keistimewaan sifat masyarakat Melayu. Kesusasteraan memaparkan sosio-budaya dan perspektif masyarakat Melayu termasuklah cara hidup, sikap, pemikiran dan peradaban masyarakat Melayu. Karya-karya sastera yang terhasil adalah bersifat didaktik, estetik dan merefleksikan kebijaksanaan masyarakat Melayu dalam menyalurkan fikiran dan pengetahuan. Justeru, karya-karya sastera ini memainkan peranan penting kepada masyarakat dalam membangunkan mentaliti, meningkatkan kecekapan berbahasa dan mengasah bakat-bakat yang baru dalam bidang penulisan kreatif. 


Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah mengambil inisiatif memartabatkan Kesusasteraan Melayu dan memperkukuhkan Bahasa Melayu dengan memasukkan Kompenen Sastera (KOMSAS) dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Usaha ini dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar tentang permasalahan di persekitaran, meningkatkan daya sensitiviti terhadap kepentingan sastera sebagai dokumentasi sosial, melahirkan insan yang seimbang daripada aspek rohani, jasmani dan intelek sekaligus meningkatkan kemahiran berbahasa pelajar secara komprehensif. 


Tugasan ini berfokuskan kepada peranan KOMSAS dalam meningkatkan kecekapan pelajar daripada aspek kemahiran berbahasa[1]. Mata pelajaran Bahasa Melayu merupakan subjek wajib lulus dalam peperiksaan. Oleh itu, KPM telah mengambil langkah memasukkan KOMSAS dalam mata pelajaran Bahasa Melayu bagi meningkatkan keterampilan pelajar dalam berbahasa secara efektif. Peranan KOMSAS harus dititikberatkan kerana banyak impak positif yang dapat diperolehi oleh pelajar khususnya dalam meningkatkan kemahiran berbahasa mereka. KOMSAS yang diteliti ialah KOMSAS yang digunakan di Zon 4, iaitu negeri Johor, Sabah, Sarawak, dan Wilayah Persekutuan Labuan. Antara Antologi KOMSAS pilihan ialah “Kasut Kelopak Jantung”, “Harga Sebuah Lukisan”, “Harga Remaja” manakala novel pula ialah “Melunas Rindu”. 


1.1 Objektif
Objektif tugasan ini ialah:
(a) Menghuraikan konsep dan kepentingan KOMSAS dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.
(b) Melihat genre-genre yang terdapat dalam KOMSAS dan aplikasinya dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.
(c) Mengenalpasti strategi yang efektif menggunakan genre KOMSAS dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.


2.0 Konsep dan kepentingan KOMSAS dalam mata pelajaran Bahasa Melayu
Mohd. Yusof Md. Nor dan Inon Shaharuddin Abdul Rahman (1992: xii) dalam Rampaisari Prosa Warisan mendefinisikan kesusasteraan adalah karya ciptaan yang menyatakan pengalaman dan perasaan manusia. Karya-karya sastera yang terhasil merefleksikan identiti bangsa, melakarkan pengalaman kemanusiaan dan memperlihatkan kebiksanaan pengkarya dalam berbahasa. Bahasa yang digunakan merupakan bahasa yang indah dan memancarkan kemahiran bahasa mereka yang luas. Oleh itu, Komponen Sastera (KOMSAS) yang dijadikan teks pembelajaran dalam mata pelajaran Bahasa Melayu merupakan usaha yang jitu bagi meningkatkan kemahiran pelajar berbahasa, iaitu kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis. 

KOMSAS ialah akronim untuk Komponen Kesusasteraan Melayu. Kedudukan KOMSAS dalam pengajaran Bahasa Melayu merupakan trend integrasi dalam sistem pendidikan kebangsaan. Perkara ini diberikan fokus dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Justifikasi fokus terletak pada pemantapan rohani dan emosi pelajar. Hal ini selaras dengan aspirasi Falsafah Pendidikan Negara dalam pembentukan pelajar yang seimbang serta berkembang secara menyeluruh daripada aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI). 

Pada bulan Mac 2001, KOMSAS diintegrasikan dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) Bahasa Melayu secara formal. KOMSAS meliputi pendedahan terhadap bahan-bahan seperti puisi tradisional, sajak, cerpen, prosa tradisional, novel dan drama. Secara praktisnya, semua bahan sastera tersebut diselitkan dalam kemahiran berbahasa. Ini meliputi bidang interpersonal, maklumat dan estetik. Hal ini bermakna integrasi KOMSAS dalam Bahasa Melayu akan menghasilkan dua impak yang mendalam dalam proses pengajaran dan pembelajaran bahasa. Secara umumnya, kedua-dua impak tersebut adalah untuk menjadikan P&P Bahasa Melayu lebih menarik. Pada masa yang sama, ia dapat memberikan kesan emosi, selain menjadikan pelajar mampu menghayati kesusasteraan. 

KOMSAS dalam konteks pendidikan kebangsaan berperanan sebagai pembentuk emosi dan menyemai tunas rohani yang luhur menerusi penghayatan bahan-bahan sastera yang telah ditetapkan. Konsep bersepadu pendidikan KOMSAS membabitkan dua perkara. Kedua-dua perkara adalah saling berkaitan. Perkara pertama ialah ilmu. Pengajaran KOMSAS menyatupadukan ilmu kesusasteraan dengan ilmu bahasa. Hal ini bermakna bahawa pada masa pengajaran Bahasa Melayu, pelajar akan diajar ilmu-ilmu yang berkaitan dengan kesusasteraan. Antara bahan yang menjadi keutamaan ialah gaya bahasa. 

Secara umumnya, P&P KOMSAS digubal untuk memenuhi beberapa matlamat. Daripada sukatan pelajaran berasaskan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah Tahun 2002, KOMSAS tergolong dalam hasil pembelajaran bidang estetik. KOMSAS mampu mempertingkatkan keupayaan pelajar dalam penguasaan bahasa, keindahan dan kehalusan. Disamping itu, KOMSAS juga mengutamakan penikmatan hasil karya yang indah, pelahiran perasaan dan penghayatan. 

Sehubungan itu KOMSAS diajar untuk menerapkan minat membaca pelbagai sastera dalam kalangan pelajar, meningkatkan kemahiran berbahasa, merangsang kemahiran menilai dan mengkritik pelbagai karya sastera dan memupuk semangat yakin akan diri. Setiap pelajar perlu mempelajari KOMSAS bagi memenuhi piawaian Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dalam memartabatkan Kesusasteraan Melayu dan memperkukuhkan kemahiran berbahasa Melayu. KOMSAS merupakan himpunan karya-karya sastera yang terdiri daripada pelbagai genre seperti puisi tradisional, sajak, prosa tradisional, cerpen, drama dan novel. Karya sastera yang terdapat dalam KOMSAS dihasilkan oleh pengarang-pengarang yang berkredibiliti, berbakat dan sesuai dipelajari oleh pelajar. KOMSAS dalam mata pelajaran Bahasa Melayu berperanan penting kerana karya-karya yang terkandung di dalamnya dapat meningkatkan keterampilan pelajar daripada aspek berbahasa. 

Kemasukan genre novel, cerpen, drama, puisi moden (sajak) dan puisi tradisional ke dalam mata pelajaran Bahasa Melayu oleh Kementerian Pelajaran Malaysia ini membuka satu lembaran baru dalam sejarah dunia pendidikan. KOMSAS diterapkan dalam kurikulum sekolah menengah bagi melahirkan generasi yang lebih berkeperibadian dan seimbang daripada aspek intelek, rohani, jasmani, dan emosi selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara. Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Dato’ Haji Alimuddun Bin Haji Mohd Dom dalam kata pengantar Kasut Kelopak Jantung Tingkatan Satu (2009: viii) menjelaskan bahawa Objektif KPM memasukkan KOMSAS dalam mata pelajaran Bahasa Melayu ialah supaya pelajar dapat mengenal dan menikmati karya sastera negara. Selain menggalakkan budaya minat membaca dalam kalangan pelajar, karya sastera dapat menjadi saluran bagi pelajar memahami budaya dan cita rasa masyarakat di negara ini. Matlamat utama KOMSAS ialah memupuk minat pelajar dalam mengembangkan bakat penulisan dengan berkarya dan meningkatkan kemahiran berbahasa mereka. 


3.0 Genre-genre yang terdapat di dalam KOMSAS dan aplikasinya dalam mata pelajaran Bahasa Melayu 

S. Othman Kelantan dan Abdullah Tahir (2003) dalam Sejarah Kesusasteraan Melayu Moden: Novel mengklasifikasikan kesusasteraan Melayu moden kepada lima genre, iaitu puisi, cerpen, novel, drama dan esei kritikan. Kesemua genre ini tercipta daripada hasil tanggapan penulis yang menghayati permasalahan diri dengan alam sekitarnya secara imaginatif dan kreatif. Namun, esei kritikan tidak termasuk dalam KOMSAS kerana lebih tertumpu kepada analisis, ulasan dan penilaian terhadap sesebuah karya mengenai kekurangan dan kelebihannya. 

KOMSAS dalam mata pelajaran Bahasa Melayu merangkumi puisi tradisional, sajak, prosa tradisional, cerpen, drama dan novel. Kesemua genre ini telah melalui perakuan pada peringkat Kementerian Pelajaran Malaysia demi menjaga kualiti KOMSAS dan mencapai objektif kementerian. Justifikasinya, karya-karya sastera yang dipilih dalam KOMSAS adalah karya yang terbaik, iaitu memiliki nilai-nilai yang baik, bahasa yang indah dan isi yang berunsur didaktik. Setiap genre ini akan dibahaskan dengan lebih terperinci dan memperlihatkan aplikasinya dalam mata pelajaran Bahasa Melayu terutama medan makna dan gaya bahasa yang digunakan.

3.1 Genre puisi tradisional

Puisi tradisional merupakan khazanah dan warisan masyarakat Melayu. Masyarakat Melayu lama menggunakan lambang-lambang yang berasal daripada kejadian alam, mitos, dan kehidupan masyarakat dalam meluahkan pemikiran mereka. Penggunaan puisi Melayu tradisional seringkali dikaitkan dengan kesenian, alam mistik, pemeliharaan adat, sahsiah, agama, ilmu, hiburan dan kepercayaan orang Melayu. Puisi tradisional bersifat non-naratif, iaitu bukan cerita. Puisi ini juga boleh dikenali sebagai puisi lisan dan puisi rakyat (Harun Mat Piah, 1989:4). Puisi tradisional terdiri daripada beberapa jenis, iaitu pantun, syair, gurindam, nazam, seloka, teka-teki, peribahasa, teromba, talibun, prosa lirik, mantera dan dikir (zikir). Puisi tradisional memanifestasikan pemikiran orang Melayu terdahulu yang menyampaikan sesuatu secara lebih halus tanpa berterus-terang. Tujuannya ialah untuk memberi nasihat, pengajaran dan peringatan kepada manusia demi keharmonian dan keamanan sejagat. 

Puisi tradisional dalam KOMSAS memperlihatkan kekreatifan pengarang mengolah bahasa menjadi karya yang indah dan bermakna. Genre ini sangat wajar dipelajari di sekolah kerana mengandungi pelbagai pengajaran dan nilai-nilai murni yang dapat dipraktikkan dalam kehidupan seharian. Misalnya, “Pantun Empat Kerat (Budi)” dalam KOMSAS Harga Remaja Tingkatan Empat (2010: 5) merupakan pantun lama yang diselenggara oleh Sasterawan Negara Anwar Ridhwan. Pantun ini mengandungi makna mendalam yang dicipta untuk memberi pengajaran kepada manusia tentang mengenang budi. 

Contohnya:


Terang bulan terang di paya,
Anak kambing memakan rumput;
Jika tak kenang kepada saya,
Nama yang baik tidak tersebut.

Anak merak mati tersangkut,
Mati dipanah Seri Rama;
Resam di dunia juga disebut,
Orang mati meninggalkan nama.

Anak itik terenang-renang,
Air pasang tenang-tenangan;
Budi sedikit bila kan hilang,
Itu menjadi kenang-kenangan.

Anak ikan berlima-lima,
Mati ditimpa punggur berdaun;
Kasih Tuan saya terima,
Sebagai hutang seribu tahun.



Rima akhir pantun di atas ialah rima luaran sama (a,b,a,b) yang dihasilkan oleh pengarang menggunakan bahasa yang indah, tersusun dan bermakna. Baris pertama dan kedua pantun merupakan pembayang manakala baris ketiga dan terakhir merupakan maksud yang hendak disampaikan oleh penulisnya. Rangkap pertama pantun ‘Jika tak kenang kepada saya, Nama yang baik tidak tersebut’ merujuk kepada orang yang berbudi haruslah dikenang. Rangkap kedua ‘Resam di dunia juga disebut, Orang mati meninggalkan nama’ bermaksud orang berbudi pasti akan dikenang walaupun telah meninggal dunia. ‘Budi sedikit bila kan hilang, Itu menjadi kenang-kenangan’ dalam rangkap ketiga memerihalkan tentang jasa budi orang akan sentiasa dikenang walaupun budi yang diberikan kecil manakala rangkap keempat pantun ‘Kasih Tuan saya terima, Sebagai hutang seribu tahun’ merujuk kepada sifat saling mengasihi antara satu sama lain akan kekal berpanjangan. 

Unsur keindahan dalam pantun ini dapat dilihat melalui pemilihan ayat oleh penulisnya seperti ungkapan ‘Resam di dunia juga disebut’. Masyarakat Melayu sinonim dengan masyarakat yang berbudi bahasa dan memiliki peradaban yang tinggi. Penciptaan karya kreatif ini melambangkan keperibadian orang Melayu dan ketinggian bahasanya. Puisi tradisional seperti ini harus dipelajari demi memartabatkan karya sastera Melayu dan memperkukuhkan kemahiran berbahasa. 


3.2 Sajak 

Sajak merupakan genre puisi moden yang popular dan sentiasa berkembang dari satu dekad ke satu dekad (Noreidah Binti Othman (ed.), 2009: 17). Genre ini mempamerkan keindahan bahasa yang memiliki maksud tersirat dan perlu ditafsir dengan baik oleh khalayak yang membaca dan mendengarnya. Sajak dalam Antologi KOMSAS adalah sesuai dengan tahap kebolehan pelajar mengikut peringkat. KOMSAS Tingkatan Satu “Kasut Kelopak Jantung” memuatkan sajak yang mudah difahami oleh pelajar. Contohnya sajak bertajuk “Kian Kita Lupa” yang berbunyi: 

Kian kita lupa
pada usul jerih bangsa
bila mewah harta di birai mata.

Kian kita lupa
pada derita moyang dahulu kala
bila asyik riak dan berbangga.

Kian kita lupa
pada azab dan seksa di sana
bila Tuhan melimpahkan kurnia.

Tetapi
kita hanya tak lupa
bila terlewat masa
untuk menyesali segala
terlanjur laku dan bicara
bahagia bertukar derita
gembira menjadi duka.

Zulfazian Jumrah
Bicara Kasih Buat Ibu, 2007.



Analisis berdasarkan sajak di atas, dapat dikenalpasti bahawa penulis sajak ini menggunakan rima akhir yang sama dan bermakna. Pelajar akan mudah tertarik dengan penulisan sajak yang kreatif ini dan dapat mempelajari variasi kata yang mempunyai makna mendalam tentang sikap manusia yang alpa dengan kesenangan dunia serta lupa diri daripada mengingati Tuhan dan orang yang pernah berjasa. Genre ini meningkatkan kemahiran pelajar berbahasa samada membaca, bertutur, mendengar dan menulis. 

Diksi[2] yang baik dinilai dari aspek ketepatan, kemunasabahan, kejelasan dan keunikan. Pendedahan aspek bahasa yang puitis dan indah dalam sajak mampu meningkatkan kemahiran berbahasa pelajar. Pelajar dapat mengenali kosa kata baru, maknanya dan memahami teks melalui pembacaan, perbincangan dan latihan. Penggunaan diksi dalam sajak dipaparkan dalam sajak Perpustakaan karya Shafie Abu Bakar, iaitu:


1.Gua pendeta bersemadi 
2.Kepala-kepala runduk meneliti 
3.Terapung di laut ilmu 
4.Gedung peradaban insan 
 (Harga Remaja, hlm. 18) 


Citra alam merupakan gambaran bentuk atau objek alamyang tergambar dalm fikiran,diciptakan atau digambarkan untuk menyatakan satu pengertian perasaan. Memindahkan pengertian konkritkepada satu pengertian abstrak dengan menggunakan objek alam bagi menggambarkankesan rasa dan makna. Citra alam yang terdapat dalam sajak Harga Remaja ialah daun dan pohon.

     
Berapakah sebenarnya harga remaja 
yang bersih 
dari gelodak kecewa 
bagai kehijauan daun 
bagai kesegaran pohon 
di pinggir perjalanan ini? 
(Harga Remaja, hlm. 17) 
        
3.3 Prosa tradisional 

Prosa tradisional merupakan hasil karya masyarakat Melayu tradisi dalam semua bentuk pernyataan biasa yang ditulis atau diucap secara lisan. Genre prosa tradisional dalam pengajaran dan pembelajaran KOMSAS merangkumi sastera yang berbentuk naratif lisan, tulisan dan prosa bukan naratif. Bentuk naratif lisan terdiri daripada tiga, iaitu cerita mitos, legenda dan cerita rakyat. Sastera naratif tulisan pula ialah sastera agama, sastera sejarah, sastera panji dan sastera hikayat manakal prosa bukan naratif terdiri daripada sastera kitab, sastera undang-undang dan sastera ketatanegaraan. Prosa tradisional merupakan khazanah warisan yang bernilai tinggi sejak zaman-berzaman. Genre ini perlu dipelajari agar pelajar dapat menghayati gaya bahasa masyarakat terdahulu dan mengambil iktibar daripadanya. 


3.4 Cerpen
SM Zakir (2011) dalam Bengkel Penulisan Kreatif dengan kertas kerjanya yang bertajuk Penulisan Cerpen menyatakan bahawa cerpen adalah cerita pendek hasil daripada imaginasi yang harus berkaitan dengan sesuatu yang nyata. Setiap cerpen yang dihasilkan memaparkan sudut pandangan pengarang tentang sesuatu isu dan permasalahan yang berlaku di sekeliling. Bahasa yang digunakan adalah mengikut nahu tatabahasa yang betul dan struktur ayatnya adalah gramatis serta mengikut format Bahasa Melayu. 

Cerpen Kasut Kelopak Jantung (KKJ) Tingkatan Satu karya Ghazali Lateh sangat menyentuh emosi pembacanya kerana seorang pelajar yang bernama Ahmad sering dimarahi oleh gurunya Cikgu Harun kerana tidak memakai kasut sekolah, tetapi hanya berselipar atau berkaki ayam sahaja. Pelajar ini telah didenda oleh gurunya, iaitu dengan memakai kasut daripada kelopak jantung sehinggalah dia dapat membeli kasut sekolah. 

“Jangan buka-buka kasut ini selagi kamu tak beli kasut baru!” Cikgu Harun memberikan amaran. 
(Kasut Kelopak Jantung, 2009: 82) 

Cerpen ini menyayat hati kerana pelajar bernama Ahmad ini berasal daripada keluarga yang miskin dan tidak mampu membeli kasut sekolah tersebut. Paling mengejutkan lagi apabila Ahmad masih memakai kasut kelopak jantung tersebut walaupun sudah seminggu. 

“Kenapa kamu tak buka kelopak jantung ini?” tanya Cikgu Harun pantas. Perasaannya mula tersentuh. Dia tidak menyangka arahan supaya tidak menanggalkan kelopak jantung itu benar-benar dipatuhi oleh anak murid yang selalu mengganggu perhatiannya itu. 
(KKJ, 2009: 85) 

Cikgu Harun yang garang telah mengetahui tentang keadaan sebenar Ahmad dan dia tersentuh dengan kata-kata Ahmad, iaitu dia belum cukup duit untuk membeli kasut baru. Cikgu Harun telah membelikan Ahmad kasut sekolah dan uniform sekolah yang baru. Keadaan ini digambarkan pengarang seperti berikut: 

Air mata Cikgu Harun gugur tanpa disedati. Dia terus sahaja menghidupkan enjin motosikalnya. Dia melalui denai-denai sempit menuju ke arah pekan berdekatan. Di pekan itu, dia membeli sepasang pakaian sekolah dan sepasang kasut. 
(KKJ, 2009: 85) 

Peristiwa tersebut telah menjadikan Cikgu Harun seorang guru yang penyayang dan dihormati oleh pelajar. Malah, setiap 16 Mei dia selalu menerima hadiah kasut-kasut yang mahal dan berjenama. Pemberian ini adalah daripada Ahmad sendiri yang telah menjadi seorang yang bejaya, iaitu sebagai pengurus besar di syarikat pengeluar kasut terkemuka. Karya sastera yang mengandungi nilai dan pengajaran seperti ini harus dibaca oleh pelajar kerana menimbulkan kesedaran dan semangat untuk berjaya dalam hidup. Bahasa yang disampaikan pengarang juga memberikan kesan emosi yang impresif kepada khalayak pembacanya. 

3.5 Drama
Naffi Mat (2006: 25) dalam Glosari Pengajian Melayu mendefinisikan drama sebagai karya sastera atau genre yang disampaikan melalui dialog dan aksi. Drama mengandungi unsur-unsur pelukisan watak yang perlu dipersembahkan di pentas untuk disaksikan penonton. Drama dalam KOMSAS 

3.6 Novel 
Hashim Awang (1985) dalam Bengkel Novel Melayu dengan makalahnya yang bertajuk Definisi Novel Melayu: Satu Penilaian Kembali mengatakan bahawa novel Melayu adalah bentuk prosa naratif panjang yang menggambarkan kehidupan realiti untuk mengungkapkan tema pengajaran dalam corak teknik tempatan. Novel merupakan karya sastera yang memiliki ciri-ciri setempat, baik dalam isi mahupun bentuknya. 

Karya sastera Melayu khususnya novel memancarkan daya fikir, bakat dan kualiti karya seseorang pengarang. Justeru, pemilihan novel untuk KOMSAS dalam Bahasa Melayu menitikberatkan isi, bahasa dan kualiti novel. Novel yang terpilih memenuhi dan menepati kehendak kurikulum Bahasa Melayu yang menekankan kemahiran berbahasa, iaitu mendengar dan bertutur, membaca dan menulis. Novel “Melunas Rindu” karya Hartini Hamzah dijadikan teks KOMSAS Tingkatan Empat. 

Shahnon Ahmad (1994: 14) berpendapat bahawa membaca dan memahami teks adalah proses memasuki dan meneroka pengalaman insan, menganalisis dan menilai segala keperihalannya. Setiap karya yang dihasilkan berpusatkan kehidupan insan yang diolah dengan menggunakan bahasa yang estetik. Shahnon Ahmad (1994: 18) menyatakan bahawa bahasa merupakan faktor penting dalam proses penciptaan kerana bahasa menjadi medium kesusasteraan. Bahasa merupakan penentu dalam memartabatkan karya yang dihasilkan kerana bahasa yang dieksploit dengan indah akan melahirkan karya yang berestetik dan bermakna. 

4.0 Strategi yang berkesan menggunakan genre KOMSAS dalam mata pelajaran Bahasa Melayu 

Othman Puteh (2001) dalam artikelnya ‘Strategi Pengajaran Bahan Sastera Dalam Bahasa Melayu” menyatakan bagi mencapai keberkesanan maksimum dalam pengajaran dan pembelajaran komponen sastera dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, haruslah wujud perancangan atau strategi yang mantap dari pihak guru, pelajar, dan teks yang dipilih. Guru yang mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam bidang kesusasteraan akan membawa pengajaran di dalam kelas ke tahap yang lebih tinggi yang mendorong pelajar-pelajar melalui proses pemikiran aras tinggi (Cohen 1991). 

5.0              Rumusan
Inisiatif memperkenalkan KOMSAS dalam mata pelajaran Bahasa Melayu merupakan langkah yang bijak dalam melahirkan generasi yang mahir berbahasa, berkeperibadian luhur dan mengamalkan nilai-nilai murni yang terkandung di dalamnya. KOMSAS dapat memupuk minat membaca dalam kalangan pelajar dan meningkatkan kemahiran berbahasa mereka. Pengajaran KOMSAS sangat releven kerana pelajar dapat mengenali pelbagai perbendaharaan kata, struktur kata dan semantik.

Genre-genre yang terdapat dalam KOMSAS merupakan karya yang terpilih, iaitu mengandungi piawaian yang sejajar dengan matlamat KPM dalam usaha meningkatkan keterampilan pelajar dalam berbahasa mencakupi aspek kemahiran membaca, mendengar, bertutur dan menulis dalam Bahasa Melayu. Pengajaran kesusasteraan Melayu dalam subjek Bahasa Melayu penting dalam pembinaan manusia yang seimbang, matang, prihatin, dan beretika tinggi. Pelajaran kesusasteraan Melayu atau komsas ini penting kepada pelajar, bukan setakat menghafal cerita, malah karya komsas yang disenaraikan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu kaya dengan khazanah ilmu, nilai, budaya, pengalaman, etik dan pelbagai lagi. Bahkan, didapati di dalamnya terangkum dunia keilmuan kesusasteraan yang tidak ada akhirnya yang sekali gus memancarkan perkembangan tamadun sesuatu bangsa, termasuk budaya dan evolusi masyarakatnya. Dengan demikian tidaklah lagi timbul masalah atau perkara yang mengelirukan guru dan pelajar kerana hakikatnya, pengajaran dan pembelajaran komsas dapat memperlengkap pengetahuan dan persediaan untuk mengajar dan belajar subjek Bahasa Melayu dengan yakin.



BIBLIOGRAFI
Azizi Deraman. 2000. Pembinaan Tamadun dan Bangsa Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Harun Mat Piah, 1989. Puisi Melayu Tradisional: Satu Pembicaraan Genre dan Fungsi . Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Hashim Awang, 1985. Definisi Novel Melayu: Satu Penilaian Kembali. Kertas kerja dalam Bengkel Novel Melayu. Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya, 9 Mac 1985.
Kamus Dewan Edisi Keempat, 2007. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohd. Yusof Hasan, 1976. Bahasa Daerah dalam Karya-karya Shahnon Ahmad. Tesis Sarjana. Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia.
Mohd. Yusof Md. Nor dan Inon Shaharuddin Abdul Rahman, 1992. Rampaisari Prosa Tradisional. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Naffi Mat, 2006. Glosari Pengajian Melayu. Selangor Darul Ehdan: Cerdik Publications Sdn. Bhd.
Noreidah Binti Othman (ed.), 2009. Antalogi Teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia Tingkatan Satu: Kasut Kelopak Jantung. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan ustaka.
Othman Puteh, 2001. Strategi Pengajaran Bahan Sastera dalam Bahasa Melayu. Dewan Siswa, Mac: 20-21.
Rosmani Binti Omar (ed.), 2010. Antologi Teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu: Harga Remaja. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
S. Othman Kelantan dan Abdullah Tahir, 2003. Sejarah Kesusasteraan Melayu Moden: Novel. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Shahnon Ahmad, 1994. Sastera: Pengalaman Ilmu Imaginasi dan Kitarannya. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
SM Zakir, 2011. Penulisan Cerpen. Kertas kerja dalam Bengkel Penulisan Kreatif anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka dan Universiti Pendidikan Sultan Idris, 13 Mei 2011.

  

Nota Kaki:


[1] Kemahiran berbahasa dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KPM) meliputi kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Kemahiran ini merupakan teras kepada penguasaan bahasa baku.

[2] Diksi menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007: 351)  didefinisikan sebagai pemilihan dan penggunaan kata yang tepat dan berkesan untuk mengungkapkan idea.

Share:

No comments:

Post a Comment

My Profile

Salam Perkenalan

Raudhatul Mahabbah



From Kota Kinabalu

ADs

Popular

Total Pageviews

info

Labels