Kata Tugas: Kata Penyambung Ayat

Kata Penyambung Ayat
Kata Penyambung Ayat
Konsep:
  • Kata penyambung ayat dikenali sebagai kata hubung.
  • Kata ini menghubungkan dua atau lebih binaan frasa, klausa, dan ayat. 
  • Penggunaan kata penyambung ayat menghasilkan bentuk ayat berlapis, dipanggil sebagai ayat majmuk 
 a) Kata Hubung Gabungan
Menghubungkan dua klausa atau lebih yang sama tara sifatnya. Contoh:

dan   lalu   atau   malahan
tetapi   sambil   serta   kemudian

Penggunaan ayat:
1. Siti mengemas rumah dan ibunya membasuh baju.
2. Dia mungkin pergi ke Lahad Datu atau Tawau.
3. Tetamu itu bangun lalu turun ke serambi.
4. Bukan Kayum sahaja yang pemurah malahan isterinya juga dermawan.
5. Ahmad lulus cemerlang dalam peperiksaan tetapi adiknya gagal.
6. Ahmad berkata-kata sambil merenung wajah temannya.
7. Wanita itu memeluk anaknya serta membelai rambutnya.
8. Sampah itu dipungutnya lalu dimasukkannya ke dalam tong sampah.

b) Kata Hubung Pancangan
Menyambung klausa tak setara atau klausa pancangan pada klausa utama atau klausa induk. Terbahagi kepada tiga, iaitu:
  • Kata Hubung Pancangan Relatif
  • Kata Hubung Pancangan Komplemen
  • Kata Hubung Pancangan Keterangan
Kata Hubung Pancangan Relatif

Berfungsi menghubungkan klausa utama (klausa bebas) dengan satu klausa kecil (klausa tak bebas) lain. Penggunaannya menghasilkan ayat majmuk pancangan relatif(ayat relatif). Terdapat satu kata hubung relatif sahaja, tetapi dapat berfungsi dalam subjek dan predikat ayat iaitu yang.

Contoh:
1. Lelaki yang membaca itu abang saya.
2. Buku yang dibelinya itu ialah buku Pengajian Malaysia.
3. Saya membeli kasut yang berwarna merah.
4. P. Ramlee seniman agung yang tidak hilang ditelan zaman.

Kata Hubung Pancangan Komplemen
Berfungsi menghubungkan klausa tak bebas yang menjadi pelengkap pada klausa utama. Penggunaannya menghasilkan ayat majmuk pancangan komplemen (ayat komplemen). Dua contoh kata komplemen ialah bahawa dan untuk.

Contoh:
1. Mereka mengetahui bahawa dia tidak bersalah dalam hal itu.
2. Guru itu menyatakan bahawa pelajarnya sangat rajin.
3. Dia belajar bersungguh-sungguh untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading.

Kata Hubung Pancangan Keterangan
Berfungsi menghubungkan klausa tak bebas yang menjadi keterangan pada klausa utama. Penggunaannya menghasilkan ayat majmuk pancangan keterangan(ayat keterangan). Jenis-jenis kata hubung keterangan: sebab, syarat, tujuan, harapan, cara, waktu, akibat, pertentangan, dan perbandingan.

Agar kerana setelah andai kata ketika
sewaktu apabila meskipun sungguhpun hingga
sekiranya supaya jika(lau) semasa tatkala kalau
sementara untuk kendatipun semoga walaupun

Contoh:
1. Pegawai itu sering dipuji kerana rajin bekerja.
2. Dia bersorak terlalu kuat hingga serak suaranya.
3. Sementara menunggu padi masak, petani itu menanam jagung.
4. Walaupun kurang sihat, dia tetap menghadiri majlis itu.
5. Orang tua itu berdoa semoga keluarganya sentiasa sihat.
6. Kami akan merayu andai kata permohonan itu ditolak.
Share:

No comments:

Post a Comment

My Profile

Salam Perkenalan

Raudhatul Mahabbah



From Kota Kinabalu

ADs

Popular

Total Pageviews

info

Labels