• slide 1

    Perjalanan kepadanya terkadang memerlukan rasa sakit untuk lebih mendekatkan diri kepada sang pemilik hati

  • slide 2

    Hati ini mahal dan berharga. Mengapa mahal? Kerana di situlah Allah melihat kita, bukannya paras rupa.

  • slide 3

    Senyum dan bersyukurlah atas nikmat yang Allah SWT sisipkan untuk kita semua.

  • slide 4

    Manusia menilai apa yang dilihat dan dengar tentang kita. Tapi Allah menilai apa yang ada di hati kita. Jaga hati.

  • slide 5

    Its better to just quietly miss someone rather than to let themknow and get no responses.

8 Cara Meningkatkan Tekanan Darah Rendah


Tekanan darah rendah biasanya didiagnosis ketika tekanan darah mencapai 90/60 atau kurang, dan diikuti beberapa gejala seperti pening, dehidrasi, sukar konsentrasi, mual, kulit dingin dan lembap, sesak nafas, kelelahan, berasa sangat haus, penglihatan kabur, hingga pengsan.

Punca Tekanan Darah Rendah
  • Berdiri terlalu lama
  • Dehidrasi
  • Minum ubat yang menurunkan tekanan darah
  • Impak dari masalah kesihatan lain yang dimiliki seperi ada infeksi yang parah, ada pendarahan di dalam saluran cerna atau ada masalah jantung
  • Trauma seperti perdarahan hebat atau luka bakar parah
  • Kondisi kehamilan, biasanya pada minggu ke-24 tempoh kehamilan tekanan darah cenderung menurun

Bagaimana cara meningkatkan tekanan darah yang rendah?


Bagi mengatasi tekanan darah rendah ianya tergantung kepada gejala yang muncul. Tujuannya sama-sama untuk meningkatkan kembali tekanan darah menjadi normal.

1. Air yang mencukupi
Air dapat meningkatkan volume darah dan mencegah berlakunya dehidrasi. Minum sekurang-kurangnya 8 gelas air per hari ditambah dengan makanan yang mengandung banyak air seperti sayur dan buah. Lebih banyak cairan akan meningkatkan volume darah, dan peningkatan jumlah darah akan meningkatkan tekanan dalam pembuluh darah arteri.

2. Meningkatkan pengambilan natrium (garam)
Natrium merupakan mineral yang tersedia dalam garam. Selain dalam garam, sayur, buah dan minuman juga mengandungi natrium yang perlu diambil oleh orang yang mengalami tekanan darah rendah. Makanan atau minuman yang mengandung natrium sebenarnya tersedia dalam berbagai sumber kerana kebanyakan jenis makanan memang mengandung garam. 

3. Hindari minuman beralkohol
Alkohol dapat menjadi punca dehidrasi atau kekurangan cairan. Semakin banyak cairan yang hilang daripada tubuh, tekanan darah anda juga akan semakin berkurang. 

4. Periksa ubat-ubatan anda
Ubat-ubatan tertentu dapat membuat tekanan darah anda menurun. Jadi, perhatikan gejala tekanan darah turun khususnya setelah minum ubat tertentu. 

5. Hindari terlalu lama berdiri
Tidak berdiri terlalu lama dapat mencegah terjadinya tekanan darah menjadi semakin rendah yang dipengaruhi oleh kondisi syaraf. Ada beberapa orang yang mengalami tekanan darah rendah dengan jenis orthostatic hypotension. Pada kondisi ini, berdiri setidaknya 3 minit dapat mengalami penurunan tekanan darah sebanyak 20 mmHg dan diastol 10 mmHg dibandingkan dengan tekanan darah mereka saat duduk atau berbaring. Sehingga, orang yang memiliki tekanan darah rendah dengan kondisi ini harus mengurangkan aktiviti berdiri.

6. Gunakan kaos kaki panjang yang ketat
Metode ini disebut dengan kompresi stocking, iaitu penggunaan kaus kaki yang elastis dan ketat atau menggunakan celana yang ketat. Tujuan metode ini untuk memberikan tekanan ekstra pada kaki hingga bawah perut. Adanya penekanan dengan kaos kaki ini agar dapat memperbaiki sirkulasi dan meningkatkan tekanan darah. Namun, metode ini harus dirujuk terlebih dahulu kepada doktor kerana tidak semua orang sesuai dengan cara ini.

7. Minum ubat-ubatan
Terdapat bebebrapa ubat-ubatan yang dikhususkan untuk penyakit tekanan darah rendah. Penggunaan ubat-ubatan ini tentunya berdasarkan nasihat doktor.

8. Rawatan di rumah sakit
Jika sudah mengalami dehidrasi parah, orang dengan tekanan darah rendah akan diberikan suntikan di rumah sakit untuk meningkatkan cairan melalui pembuluh darah. Mengatasi kondisi dehidrasi akan meningkatkan tekanan darah yang rendah
Share:

imbuhan apitan "meN-...-kan" dan "meN-...i'

Pertanyaan tentang penggunaan imbuhan apitan "meN-...-kan" dan "meN-...i" masih sering ditanyakan hingga kini. Untuk manfaat bersama, mari kita lihat perbezaan antara "menghadiahkan" dan "menghadiahi".

Secara ringkas, ada perbezaan makna yang timbul daripada penggunaan dua imbuhan apitan itu. Dalam kes "menghadiahkan", objek kata kerja transitif itu menjadi hadiah dan diberikan kepada seseorang, misalnya "Pengetua menghadiahkan komputer riba kepada pelajar cemerlang itu." 

Penggunaan "menghadiahi" pula menimbulkan makna bahawa objek kata kerja ialah penerima hadiah, misalnya "Pengetua menghadiahi pelajar cemerlang itu komputer riba". Jika diujarkan ayat "Pengetua menghadiahkan pelajar cemerlang itu....", maka ertinya menjadi salah kerana pelajar cemerlang menjadi hadiah. Pasangan kata lain yang sama polanya ialah "menganugerahkan/menganugerahi", "menaikkan/menaiki", "menjatuhkan/menjatuhi".
Share:

Info Solat: Wajib Baca! Kesilapan Meletak Jari Kaki Ketika Sujud

WAJIB BACA! Kesilapan meletak jari kaki ketika sujud dalam solat.

Perasan atau tidak ketika sujud dalam solat ada pelbagai gaya meletak atau menyusun jari kaki kita di lantai. Ada yang letak di hujung kuku, ada yang bersilang dan bermacam-macam lagi. Jom kita tengok bagaimana kedudukan jari kaki yang betul ketika sujud.

SUJUD DALAM SOLAT
Sujud adalah satu daripada 13 rukun sembahyang. BATAL SUJUD, BATALLAH SEMBAHYANG, kerana sembahyang kita tinggal 12 rukun. Sujud ada syarat-syaratnya, jika tidak dipenuhi maka batallah sujud. 

Kitab Sabilul-Muhtadin menggariskan syarat-syarat sujud ada 9 perkara: (Syahdan) adalah syarat sujud itu sembilan perkara. (Sabilul-Muhtadin, 215 baris 18). Namun catatan berikut adalah menyentuh tentang syarat yang ke-4, yang sering menjadi sebab terbatalnya sembahyang kita. Tetapi kita sering terlepas pandang.

Kitab Sabilul-Muhtadin menyebut:

(Syarat) yang keempat, menghantar satu suku daripada perut jari dua kakinya. Maka tiada memadai sujud dengan tiada menghantarkan sekalian yang tersebut itu kerana tersebut di dalam hadis Bukhari dan Muslim, yang ertinya: telah disuruh akan daku sujud atas tujuh anggota iaitu dahi dan kedua perut tapak tangan dan kedua lutut dan perut jari dua kaki.

Kedudukan yang betul ialah dengan melipat hujung jari kaki sehingga perut jari kaki itu dirasa menyentuh ke bumi. Sekurang-kurangnya ialah dengan satu jari kaki yang betul kedudukannya (pada kedua-dua belah kaki).

Jika jari kaki tidak dillipat, tidak diletakkan dengan betul, solat kita boleh menjadi batal kerana ia merupakan anggota wajib yang ketujuh.

Lebih malang lagi sesetengah kita terlepas pandang, tapak kaki kita terangkat, tidak menyentuh lantai tempat sembahyang. Gambar mungkin dapat membantu kita memahami maksud catatan di atas.



A- Cara paling selamat ialah dengan membengkokkan jari-jari kaki. Ini, “Keluar daripada khilaf dan melakukan yang terbaik untuk menuruti sunnah Nabi SAW adalah lebih elok.”

B- Posisi kaki kurang sempurna.
”Tetapi masih memenuhi syarat sujud, iaitu perut jari kaki terletak di tempat sembahyang."

C- Kedudukan jari kaki yang salah ketika sujud. Ini yang menyebabkan BATAL SUJUD dan membatalkan sembahyang."


Rujukan: Ust. Zaharuddin Abd Rahman, 2008. Cetakan pertama. Formula Solat Sempurna. Kuala Lumpur: Telaga Biru.

Adakah selama ini solat kita tidak sah?

Menurut Imam al-Nawawi,  jika seseorang itu sengaja (tanpa uzur) tidak meletakkan perut hujung tapak jari kaki ketika sujud, maka tidak sah solatnya. Tetapi jika dia melakukan perbuatan tersebut disebabkan kejahilan dirinya atau keuzuran, maka solatnya diterima. InshaaAllah.

#PerelokkanSolatKita

Share:

Cara Tukar No TAC Maybank2u



Pengguna maybank2u semestinya tahu bahawa pentingnya nombor TAC bagi pengesahan transaksi pembelian secara online. Namun seringkali berlaku tidak dapat mengakses no TAC kerana masalah nombor telefon anda, kehilangan sim ataupun menukarkan nombor yang baru. Hal ini memberi kesan kepada nombor TAC maybank2u anda yang juga perlu ditukarkan kepada nombor yang baru bagi proses pengesahan online.

Berikut DUA (2) Cara Mudah Tukarkan nombor TAC Maybank2u anda:


1. Melalui mesin ATM Maybank
-Pergi ke mesin ATM Maybank dan masukkan kad serta nombor pin anda
-Klik pilihan Maybank2u/Phone Banking/ATM SMS Alert pada paparan pilihan
-Kemudian,anda hanya perlu memasukkan nombor baru anda di ruangan yang disediakan
-Pastikan nombor anda betul, dan klik YES

2.Melalui Kaunter Maybank
-Pergi ke mana-mana cawangan maybank
-Ambil no giliran anda kat kaunter pertanyaan, maklumkan penjaga kaunter bahawa anda ingin tukarkan no TAC ke nombor phone yang baru.
-Penjaga kaunter suruh buat step yang pertama melalui mesin ATM/M2u kat dalam cawangan maybank.
Share:

Pengajaran KOMSAS dalam Bahasa Melayu

Pengajaran KOMSAS dalam Bahasa Melayu
Image by Cool Text: Free Graphics Generator - Edit Image


1.0 Pengenalan 
Bahasa Melayu dan sastera tidak dapat dipisahkan kerana bahasa dijadikan medium untuk menulis karya sastera. Hashim Awang et al.(1985:9) mendefinisikan kesusasteraan Melayu sebagai kesusasteraan yang lahir daripada keistimewaan sifat masyarakat Melayu. Kesusasteraan memaparkan sosio-budaya dan perspektif masyarakat Melayu termasuklah cara hidup, sikap, pemikiran dan peradaban masyarakat Melayu. Karya-karya sastera yang terhasil adalah bersifat didaktik, estetik dan merefleksikan kebijaksanaan masyarakat Melayu dalam menyalurkan fikiran dan pengetahuan. Justeru, karya-karya sastera ini memainkan peranan penting kepada masyarakat dalam membangunkan mentaliti, meningkatkan kecekapan berbahasa dan mengasah bakat-bakat yang baru dalam bidang penulisan kreatif. 


Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah mengambil inisiatif memartabatkan Kesusasteraan Melayu dan memperkukuhkan Bahasa Melayu dengan memasukkan Kompenen Sastera (KOMSAS) dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Usaha ini dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar tentang permasalahan di persekitaran, meningkatkan daya sensitiviti terhadap kepentingan sastera sebagai dokumentasi sosial, melahirkan insan yang seimbang daripada aspek rohani, jasmani dan intelek sekaligus meningkatkan kemahiran berbahasa pelajar secara komprehensif. 


Tugasan ini berfokuskan kepada peranan KOMSAS dalam meningkatkan kecekapan pelajar daripada aspek kemahiran berbahasa[1]. Mata pelajaran Bahasa Melayu merupakan subjek wajib lulus dalam peperiksaan. Oleh itu, KPM telah mengambil langkah memasukkan KOMSAS dalam mata pelajaran Bahasa Melayu bagi meningkatkan keterampilan pelajar dalam berbahasa secara efektif. Peranan KOMSAS harus dititikberatkan kerana banyak impak positif yang dapat diperolehi oleh pelajar khususnya dalam meningkatkan kemahiran berbahasa mereka. KOMSAS yang diteliti ialah KOMSAS yang digunakan di Zon 4, iaitu negeri Johor, Sabah, Sarawak, dan Wilayah Persekutuan Labuan. Antara Antologi KOMSAS pilihan ialah “Kasut Kelopak Jantung”, “Harga Sebuah Lukisan”, “Harga Remaja” manakala novel pula ialah “Melunas Rindu”. 


1.1 Objektif
Objektif tugasan ini ialah:
(a) Menghuraikan konsep dan kepentingan KOMSAS dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.
(b) Melihat genre-genre yang terdapat dalam KOMSAS dan aplikasinya dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.
(c) Mengenalpasti strategi yang efektif menggunakan genre KOMSAS dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.


2.0 Konsep dan kepentingan KOMSAS dalam mata pelajaran Bahasa Melayu
Mohd. Yusof Md. Nor dan Inon Shaharuddin Abdul Rahman (1992: xii) dalam Rampaisari Prosa Warisan mendefinisikan kesusasteraan adalah karya ciptaan yang menyatakan pengalaman dan perasaan manusia. Karya-karya sastera yang terhasil merefleksikan identiti bangsa, melakarkan pengalaman kemanusiaan dan memperlihatkan kebiksanaan pengkarya dalam berbahasa. Bahasa yang digunakan merupakan bahasa yang indah dan memancarkan kemahiran bahasa mereka yang luas. Oleh itu, Komponen Sastera (KOMSAS) yang dijadikan teks pembelajaran dalam mata pelajaran Bahasa Melayu merupakan usaha yang jitu bagi meningkatkan kemahiran pelajar berbahasa, iaitu kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis. 

KOMSAS ialah akronim untuk Komponen Kesusasteraan Melayu. Kedudukan KOMSAS dalam pengajaran Bahasa Melayu merupakan trend integrasi dalam sistem pendidikan kebangsaan. Perkara ini diberikan fokus dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Justifikasi fokus terletak pada pemantapan rohani dan emosi pelajar. Hal ini selaras dengan aspirasi Falsafah Pendidikan Negara dalam pembentukan pelajar yang seimbang serta berkembang secara menyeluruh daripada aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI). 

Pada bulan Mac 2001, KOMSAS diintegrasikan dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) Bahasa Melayu secara formal. KOMSAS meliputi pendedahan terhadap bahan-bahan seperti puisi tradisional, sajak, cerpen, prosa tradisional, novel dan drama. Secara praktisnya, semua bahan sastera tersebut diselitkan dalam kemahiran berbahasa. Ini meliputi bidang interpersonal, maklumat dan estetik. Hal ini bermakna integrasi KOMSAS dalam Bahasa Melayu akan menghasilkan dua impak yang mendalam dalam proses pengajaran dan pembelajaran bahasa. Secara umumnya, kedua-dua impak tersebut adalah untuk menjadikan P&P Bahasa Melayu lebih menarik. Pada masa yang sama, ia dapat memberikan kesan emosi, selain menjadikan pelajar mampu menghayati kesusasteraan. 

KOMSAS dalam konteks pendidikan kebangsaan berperanan sebagai pembentuk emosi dan menyemai tunas rohani yang luhur menerusi penghayatan bahan-bahan sastera yang telah ditetapkan. Konsep bersepadu pendidikan KOMSAS membabitkan dua perkara. Kedua-dua perkara adalah saling berkaitan. Perkara pertama ialah ilmu. Pengajaran KOMSAS menyatupadukan ilmu kesusasteraan dengan ilmu bahasa. Hal ini bermakna bahawa pada masa pengajaran Bahasa Melayu, pelajar akan diajar ilmu-ilmu yang berkaitan dengan kesusasteraan. Antara bahan yang menjadi keutamaan ialah gaya bahasa. 

Secara umumnya, P&P KOMSAS digubal untuk memenuhi beberapa matlamat. Daripada sukatan pelajaran berasaskan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah Tahun 2002, KOMSAS tergolong dalam hasil pembelajaran bidang estetik. KOMSAS mampu mempertingkatkan keupayaan pelajar dalam penguasaan bahasa, keindahan dan kehalusan. Disamping itu, KOMSAS juga mengutamakan penikmatan hasil karya yang indah, pelahiran perasaan dan penghayatan. 

Sehubungan itu KOMSAS diajar untuk menerapkan minat membaca pelbagai sastera dalam kalangan pelajar, meningkatkan kemahiran berbahasa, merangsang kemahiran menilai dan mengkritik pelbagai karya sastera dan memupuk semangat yakin akan diri. Setiap pelajar perlu mempelajari KOMSAS bagi memenuhi piawaian Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dalam memartabatkan Kesusasteraan Melayu dan memperkukuhkan kemahiran berbahasa Melayu. KOMSAS merupakan himpunan karya-karya sastera yang terdiri daripada pelbagai genre seperti puisi tradisional, sajak, prosa tradisional, cerpen, drama dan novel. Karya sastera yang terdapat dalam KOMSAS dihasilkan oleh pengarang-pengarang yang berkredibiliti, berbakat dan sesuai dipelajari oleh pelajar. KOMSAS dalam mata pelajaran Bahasa Melayu berperanan penting kerana karya-karya yang terkandung di dalamnya dapat meningkatkan keterampilan pelajar daripada aspek berbahasa. 

Kemasukan genre novel, cerpen, drama, puisi moden (sajak) dan puisi tradisional ke dalam mata pelajaran Bahasa Melayu oleh Kementerian Pelajaran Malaysia ini membuka satu lembaran baru dalam sejarah dunia pendidikan. KOMSAS diterapkan dalam kurikulum sekolah menengah bagi melahirkan generasi yang lebih berkeperibadian dan seimbang daripada aspek intelek, rohani, jasmani, dan emosi selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara. Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Dato’ Haji Alimuddun Bin Haji Mohd Dom dalam kata pengantar Kasut Kelopak Jantung Tingkatan Satu (2009: viii) menjelaskan bahawa Objektif KPM memasukkan KOMSAS dalam mata pelajaran Bahasa Melayu ialah supaya pelajar dapat mengenal dan menikmati karya sastera negara. Selain menggalakkan budaya minat membaca dalam kalangan pelajar, karya sastera dapat menjadi saluran bagi pelajar memahami budaya dan cita rasa masyarakat di negara ini. Matlamat utama KOMSAS ialah memupuk minat pelajar dalam mengembangkan bakat penulisan dengan berkarya dan meningkatkan kemahiran berbahasa mereka. 


3.0 Genre-genre yang terdapat di dalam KOMSAS dan aplikasinya dalam mata pelajaran Bahasa Melayu 

S. Othman Kelantan dan Abdullah Tahir (2003) dalam Sejarah Kesusasteraan Melayu Moden: Novel mengklasifikasikan kesusasteraan Melayu moden kepada lima genre, iaitu puisi, cerpen, novel, drama dan esei kritikan. Kesemua genre ini tercipta daripada hasil tanggapan penulis yang menghayati permasalahan diri dengan alam sekitarnya secara imaginatif dan kreatif. Namun, esei kritikan tidak termasuk dalam KOMSAS kerana lebih tertumpu kepada analisis, ulasan dan penilaian terhadap sesebuah karya mengenai kekurangan dan kelebihannya. 

KOMSAS dalam mata pelajaran Bahasa Melayu merangkumi puisi tradisional, sajak, prosa tradisional, cerpen, drama dan novel. Kesemua genre ini telah melalui perakuan pada peringkat Kementerian Pelajaran Malaysia demi menjaga kualiti KOMSAS dan mencapai objektif kementerian. Justifikasinya, karya-karya sastera yang dipilih dalam KOMSAS adalah karya yang terbaik, iaitu memiliki nilai-nilai yang baik, bahasa yang indah dan isi yang berunsur didaktik. Setiap genre ini akan dibahaskan dengan lebih terperinci dan memperlihatkan aplikasinya dalam mata pelajaran Bahasa Melayu terutama medan makna dan gaya bahasa yang digunakan.

3.1 Genre puisi tradisional

Puisi tradisional merupakan khazanah dan warisan masyarakat Melayu. Masyarakat Melayu lama menggunakan lambang-lambang yang berasal daripada kejadian alam, mitos, dan kehidupan masyarakat dalam meluahkan pemikiran mereka. Penggunaan puisi Melayu tradisional seringkali dikaitkan dengan kesenian, alam mistik, pemeliharaan adat, sahsiah, agama, ilmu, hiburan dan kepercayaan orang Melayu. Puisi tradisional bersifat non-naratif, iaitu bukan cerita. Puisi ini juga boleh dikenali sebagai puisi lisan dan puisi rakyat (Harun Mat Piah, 1989:4). Puisi tradisional terdiri daripada beberapa jenis, iaitu pantun, syair, gurindam, nazam, seloka, teka-teki, peribahasa, teromba, talibun, prosa lirik, mantera dan dikir (zikir). Puisi tradisional memanifestasikan pemikiran orang Melayu terdahulu yang menyampaikan sesuatu secara lebih halus tanpa berterus-terang. Tujuannya ialah untuk memberi nasihat, pengajaran dan peringatan kepada manusia demi keharmonian dan keamanan sejagat. 

Puisi tradisional dalam KOMSAS memperlihatkan kekreatifan pengarang mengolah bahasa menjadi karya yang indah dan bermakna. Genre ini sangat wajar dipelajari di sekolah kerana mengandungi pelbagai pengajaran dan nilai-nilai murni yang dapat dipraktikkan dalam kehidupan seharian. Misalnya, “Pantun Empat Kerat (Budi)” dalam KOMSAS Harga Remaja Tingkatan Empat (2010: 5) merupakan pantun lama yang diselenggara oleh Sasterawan Negara Anwar Ridhwan. Pantun ini mengandungi makna mendalam yang dicipta untuk memberi pengajaran kepada manusia tentang mengenang budi. 

Contohnya:


Terang bulan terang di paya,
Anak kambing memakan rumput;
Jika tak kenang kepada saya,
Nama yang baik tidak tersebut.

Anak merak mati tersangkut,
Mati dipanah Seri Rama;
Resam di dunia juga disebut,
Orang mati meninggalkan nama.

Anak itik terenang-renang,
Air pasang tenang-tenangan;
Budi sedikit bila kan hilang,
Itu menjadi kenang-kenangan.

Anak ikan berlima-lima,
Mati ditimpa punggur berdaun;
Kasih Tuan saya terima,
Sebagai hutang seribu tahun.



Rima akhir pantun di atas ialah rima luaran sama (a,b,a,b) yang dihasilkan oleh pengarang menggunakan bahasa yang indah, tersusun dan bermakna. Baris pertama dan kedua pantun merupakan pembayang manakala baris ketiga dan terakhir merupakan maksud yang hendak disampaikan oleh penulisnya. Rangkap pertama pantun ‘Jika tak kenang kepada saya, Nama yang baik tidak tersebut’ merujuk kepada orang yang berbudi haruslah dikenang. Rangkap kedua ‘Resam di dunia juga disebut, Orang mati meninggalkan nama’ bermaksud orang berbudi pasti akan dikenang walaupun telah meninggal dunia. ‘Budi sedikit bila kan hilang, Itu menjadi kenang-kenangan’ dalam rangkap ketiga memerihalkan tentang jasa budi orang akan sentiasa dikenang walaupun budi yang diberikan kecil manakala rangkap keempat pantun ‘Kasih Tuan saya terima, Sebagai hutang seribu tahun’ merujuk kepada sifat saling mengasihi antara satu sama lain akan kekal berpanjangan. 

Unsur keindahan dalam pantun ini dapat dilihat melalui pemilihan ayat oleh penulisnya seperti ungkapan ‘Resam di dunia juga disebut’. Masyarakat Melayu sinonim dengan masyarakat yang berbudi bahasa dan memiliki peradaban yang tinggi. Penciptaan karya kreatif ini melambangkan keperibadian orang Melayu dan ketinggian bahasanya. Puisi tradisional seperti ini harus dipelajari demi memartabatkan karya sastera Melayu dan memperkukuhkan kemahiran berbahasa. 


3.2 Sajak 

Sajak merupakan genre puisi moden yang popular dan sentiasa berkembang dari satu dekad ke satu dekad (Noreidah Binti Othman (ed.), 2009: 17). Genre ini mempamerkan keindahan bahasa yang memiliki maksud tersirat dan perlu ditafsir dengan baik oleh khalayak yang membaca dan mendengarnya. Sajak dalam Antologi KOMSAS adalah sesuai dengan tahap kebolehan pelajar mengikut peringkat. KOMSAS Tingkatan Satu “Kasut Kelopak Jantung” memuatkan sajak yang mudah difahami oleh pelajar. Contohnya sajak bertajuk “Kian Kita Lupa” yang berbunyi: 

Kian kita lupa
pada usul jerih bangsa
bila mewah harta di birai mata.

Kian kita lupa
pada derita moyang dahulu kala
bila asyik riak dan berbangga.

Kian kita lupa
pada azab dan seksa di sana
bila Tuhan melimpahkan kurnia.

Tetapi
kita hanya tak lupa
bila terlewat masa
untuk menyesali segala
terlanjur laku dan bicara
bahagia bertukar derita
gembira menjadi duka.

Zulfazian Jumrah
Bicara Kasih Buat Ibu, 2007.



Analisis berdasarkan sajak di atas, dapat dikenalpasti bahawa penulis sajak ini menggunakan rima akhir yang sama dan bermakna. Pelajar akan mudah tertarik dengan penulisan sajak yang kreatif ini dan dapat mempelajari variasi kata yang mempunyai makna mendalam tentang sikap manusia yang alpa dengan kesenangan dunia serta lupa diri daripada mengingati Tuhan dan orang yang pernah berjasa. Genre ini meningkatkan kemahiran pelajar berbahasa samada membaca, bertutur, mendengar dan menulis. 

Diksi[2] yang baik dinilai dari aspek ketepatan, kemunasabahan, kejelasan dan keunikan. Pendedahan aspek bahasa yang puitis dan indah dalam sajak mampu meningkatkan kemahiran berbahasa pelajar. Pelajar dapat mengenali kosa kata baru, maknanya dan memahami teks melalui pembacaan, perbincangan dan latihan. Penggunaan diksi dalam sajak dipaparkan dalam sajak Perpustakaan karya Shafie Abu Bakar, iaitu:


1.Gua pendeta bersemadi 
2.Kepala-kepala runduk meneliti 
3.Terapung di laut ilmu 
4.Gedung peradaban insan 
 (Harga Remaja, hlm. 18) 


Citra alam merupakan gambaran bentuk atau objek alamyang tergambar dalm fikiran,diciptakan atau digambarkan untuk menyatakan satu pengertian perasaan. Memindahkan pengertian konkritkepada satu pengertian abstrak dengan menggunakan objek alam bagi menggambarkankesan rasa dan makna. Citra alam yang terdapat dalam sajak Harga Remaja ialah daun dan pohon.

     
Berapakah sebenarnya harga remaja 
yang bersih 
dari gelodak kecewa 
bagai kehijauan daun 
bagai kesegaran pohon 
di pinggir perjalanan ini? 
(Harga Remaja, hlm. 17) 
        
3.3 Prosa tradisional 

Prosa tradisional merupakan hasil karya masyarakat Melayu tradisi dalam semua bentuk pernyataan biasa yang ditulis atau diucap secara lisan. Genre prosa tradisional dalam pengajaran dan pembelajaran KOMSAS merangkumi sastera yang berbentuk naratif lisan, tulisan dan prosa bukan naratif. Bentuk naratif lisan terdiri daripada tiga, iaitu cerita mitos, legenda dan cerita rakyat. Sastera naratif tulisan pula ialah sastera agama, sastera sejarah, sastera panji dan sastera hikayat manakal prosa bukan naratif terdiri daripada sastera kitab, sastera undang-undang dan sastera ketatanegaraan. Prosa tradisional merupakan khazanah warisan yang bernilai tinggi sejak zaman-berzaman. Genre ini perlu dipelajari agar pelajar dapat menghayati gaya bahasa masyarakat terdahulu dan mengambil iktibar daripadanya. 


3.4 Cerpen
SM Zakir (2011) dalam Bengkel Penulisan Kreatif dengan kertas kerjanya yang bertajuk Penulisan Cerpen menyatakan bahawa cerpen adalah cerita pendek hasil daripada imaginasi yang harus berkaitan dengan sesuatu yang nyata. Setiap cerpen yang dihasilkan memaparkan sudut pandangan pengarang tentang sesuatu isu dan permasalahan yang berlaku di sekeliling. Bahasa yang digunakan adalah mengikut nahu tatabahasa yang betul dan struktur ayatnya adalah gramatis serta mengikut format Bahasa Melayu. 

Cerpen Kasut Kelopak Jantung (KKJ) Tingkatan Satu karya Ghazali Lateh sangat menyentuh emosi pembacanya kerana seorang pelajar yang bernama Ahmad sering dimarahi oleh gurunya Cikgu Harun kerana tidak memakai kasut sekolah, tetapi hanya berselipar atau berkaki ayam sahaja. Pelajar ini telah didenda oleh gurunya, iaitu dengan memakai kasut daripada kelopak jantung sehinggalah dia dapat membeli kasut sekolah. 

“Jangan buka-buka kasut ini selagi kamu tak beli kasut baru!” Cikgu Harun memberikan amaran. 
(Kasut Kelopak Jantung, 2009: 82) 

Cerpen ini menyayat hati kerana pelajar bernama Ahmad ini berasal daripada keluarga yang miskin dan tidak mampu membeli kasut sekolah tersebut. Paling mengejutkan lagi apabila Ahmad masih memakai kasut kelopak jantung tersebut walaupun sudah seminggu. 

“Kenapa kamu tak buka kelopak jantung ini?” tanya Cikgu Harun pantas. Perasaannya mula tersentuh. Dia tidak menyangka arahan supaya tidak menanggalkan kelopak jantung itu benar-benar dipatuhi oleh anak murid yang selalu mengganggu perhatiannya itu. 
(KKJ, 2009: 85) 

Cikgu Harun yang garang telah mengetahui tentang keadaan sebenar Ahmad dan dia tersentuh dengan kata-kata Ahmad, iaitu dia belum cukup duit untuk membeli kasut baru. Cikgu Harun telah membelikan Ahmad kasut sekolah dan uniform sekolah yang baru. Keadaan ini digambarkan pengarang seperti berikut: 

Air mata Cikgu Harun gugur tanpa disedati. Dia terus sahaja menghidupkan enjin motosikalnya. Dia melalui denai-denai sempit menuju ke arah pekan berdekatan. Di pekan itu, dia membeli sepasang pakaian sekolah dan sepasang kasut. 
(KKJ, 2009: 85) 

Peristiwa tersebut telah menjadikan Cikgu Harun seorang guru yang penyayang dan dihormati oleh pelajar. Malah, setiap 16 Mei dia selalu menerima hadiah kasut-kasut yang mahal dan berjenama. Pemberian ini adalah daripada Ahmad sendiri yang telah menjadi seorang yang bejaya, iaitu sebagai pengurus besar di syarikat pengeluar kasut terkemuka. Karya sastera yang mengandungi nilai dan pengajaran seperti ini harus dibaca oleh pelajar kerana menimbulkan kesedaran dan semangat untuk berjaya dalam hidup. Bahasa yang disampaikan pengarang juga memberikan kesan emosi yang impresif kepada khalayak pembacanya. 

3.5 Drama
Naffi Mat (2006: 25) dalam Glosari Pengajian Melayu mendefinisikan drama sebagai karya sastera atau genre yang disampaikan melalui dialog dan aksi. Drama mengandungi unsur-unsur pelukisan watak yang perlu dipersembahkan di pentas untuk disaksikan penonton. Drama dalam KOMSAS 

3.6 Novel 
Hashim Awang (1985) dalam Bengkel Novel Melayu dengan makalahnya yang bertajuk Definisi Novel Melayu: Satu Penilaian Kembali mengatakan bahawa novel Melayu adalah bentuk prosa naratif panjang yang menggambarkan kehidupan realiti untuk mengungkapkan tema pengajaran dalam corak teknik tempatan. Novel merupakan karya sastera yang memiliki ciri-ciri setempat, baik dalam isi mahupun bentuknya. 

Karya sastera Melayu khususnya novel memancarkan daya fikir, bakat dan kualiti karya seseorang pengarang. Justeru, pemilihan novel untuk KOMSAS dalam Bahasa Melayu menitikberatkan isi, bahasa dan kualiti novel. Novel yang terpilih memenuhi dan menepati kehendak kurikulum Bahasa Melayu yang menekankan kemahiran berbahasa, iaitu mendengar dan bertutur, membaca dan menulis. Novel “Melunas Rindu” karya Hartini Hamzah dijadikan teks KOMSAS Tingkatan Empat. 

Shahnon Ahmad (1994: 14) berpendapat bahawa membaca dan memahami teks adalah proses memasuki dan meneroka pengalaman insan, menganalisis dan menilai segala keperihalannya. Setiap karya yang dihasilkan berpusatkan kehidupan insan yang diolah dengan menggunakan bahasa yang estetik. Shahnon Ahmad (1994: 18) menyatakan bahawa bahasa merupakan faktor penting dalam proses penciptaan kerana bahasa menjadi medium kesusasteraan. Bahasa merupakan penentu dalam memartabatkan karya yang dihasilkan kerana bahasa yang dieksploit dengan indah akan melahirkan karya yang berestetik dan bermakna. 

4.0 Strategi yang berkesan menggunakan genre KOMSAS dalam mata pelajaran Bahasa Melayu 

Othman Puteh (2001) dalam artikelnya ‘Strategi Pengajaran Bahan Sastera Dalam Bahasa Melayu” menyatakan bagi mencapai keberkesanan maksimum dalam pengajaran dan pembelajaran komponen sastera dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, haruslah wujud perancangan atau strategi yang mantap dari pihak guru, pelajar, dan teks yang dipilih. Guru yang mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam bidang kesusasteraan akan membawa pengajaran di dalam kelas ke tahap yang lebih tinggi yang mendorong pelajar-pelajar melalui proses pemikiran aras tinggi (Cohen 1991). 

5.0              Rumusan
Inisiatif memperkenalkan KOMSAS dalam mata pelajaran Bahasa Melayu merupakan langkah yang bijak dalam melahirkan generasi yang mahir berbahasa, berkeperibadian luhur dan mengamalkan nilai-nilai murni yang terkandung di dalamnya. KOMSAS dapat memupuk minat membaca dalam kalangan pelajar dan meningkatkan kemahiran berbahasa mereka. Pengajaran KOMSAS sangat releven kerana pelajar dapat mengenali pelbagai perbendaharaan kata, struktur kata dan semantik.

Genre-genre yang terdapat dalam KOMSAS merupakan karya yang terpilih, iaitu mengandungi piawaian yang sejajar dengan matlamat KPM dalam usaha meningkatkan keterampilan pelajar dalam berbahasa mencakupi aspek kemahiran membaca, mendengar, bertutur dan menulis dalam Bahasa Melayu. Pengajaran kesusasteraan Melayu dalam subjek Bahasa Melayu penting dalam pembinaan manusia yang seimbang, matang, prihatin, dan beretika tinggi. Pelajaran kesusasteraan Melayu atau komsas ini penting kepada pelajar, bukan setakat menghafal cerita, malah karya komsas yang disenaraikan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu kaya dengan khazanah ilmu, nilai, budaya, pengalaman, etik dan pelbagai lagi. Bahkan, didapati di dalamnya terangkum dunia keilmuan kesusasteraan yang tidak ada akhirnya yang sekali gus memancarkan perkembangan tamadun sesuatu bangsa, termasuk budaya dan evolusi masyarakatnya. Dengan demikian tidaklah lagi timbul masalah atau perkara yang mengelirukan guru dan pelajar kerana hakikatnya, pengajaran dan pembelajaran komsas dapat memperlengkap pengetahuan dan persediaan untuk mengajar dan belajar subjek Bahasa Melayu dengan yakin.



BIBLIOGRAFI
Azizi Deraman. 2000. Pembinaan Tamadun dan Bangsa Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Harun Mat Piah, 1989. Puisi Melayu Tradisional: Satu Pembicaraan Genre dan Fungsi . Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Hashim Awang, 1985. Definisi Novel Melayu: Satu Penilaian Kembali. Kertas kerja dalam Bengkel Novel Melayu. Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya, 9 Mac 1985.
Kamus Dewan Edisi Keempat, 2007. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohd. Yusof Hasan, 1976. Bahasa Daerah dalam Karya-karya Shahnon Ahmad. Tesis Sarjana. Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia.
Mohd. Yusof Md. Nor dan Inon Shaharuddin Abdul Rahman, 1992. Rampaisari Prosa Tradisional. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Naffi Mat, 2006. Glosari Pengajian Melayu. Selangor Darul Ehdan: Cerdik Publications Sdn. Bhd.
Noreidah Binti Othman (ed.), 2009. Antalogi Teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia Tingkatan Satu: Kasut Kelopak Jantung. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan ustaka.
Othman Puteh, 2001. Strategi Pengajaran Bahan Sastera dalam Bahasa Melayu. Dewan Siswa, Mac: 20-21.
Rosmani Binti Omar (ed.), 2010. Antologi Teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu: Harga Remaja. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
S. Othman Kelantan dan Abdullah Tahir, 2003. Sejarah Kesusasteraan Melayu Moden: Novel. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Shahnon Ahmad, 1994. Sastera: Pengalaman Ilmu Imaginasi dan Kitarannya. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
SM Zakir, 2011. Penulisan Cerpen. Kertas kerja dalam Bengkel Penulisan Kreatif anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka dan Universiti Pendidikan Sultan Idris, 13 Mei 2011.

  

Nota Kaki:


[1] Kemahiran berbahasa dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KPM) meliputi kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Kemahiran ini merupakan teras kepada penguasaan bahasa baku.

[2] Diksi menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007: 351)  didefinisikan sebagai pemilihan dan penggunaan kata yang tepat dan berkesan untuk mengungkapkan idea.

Share:

My Profile

Salam Perkenalan

Raudhatul Mahabbah



From Kota Kinabalu

Hai!

Popular

Total Pageviews