Mengapa Ada Bangunan Berbentuk Piramid Pada Masa Dahulu?

Piramid merupakan salah satu seni bina keajaiban dunia yang sangat mengagumkan serta membingungkan. Kagum kerana saiznya yang gergasi sementara bingung pula disebabkan usaha kita memahami bagaimana orang zaman dulu mampu membina bangunan sebesar itu. 

Strukturnya yang sangat kukuh menjadikannya mampu bertahan dalam tempoh yang sangat panjang dan masih ada sehingga kini. Terdapat banyak binaan yang berupa seperti piramid ditemui di beberapa tempat seperti Mesopotamia, Mesir, kawasan Mesoamerica, China, Sepanyol, Sudan dan beberapa lagi tempat.

Piramid didirikan oleh masyarakat terdahulu bukan sahaja sebagai mercu tanda, tetapi juga dijadikan sebagai simbol kemajuan dan kepandaian masyarakat tersebut. 

Tujuan Piramid Didirikan Pada Masa Dahulu
Mengimbau kembali kisah sejarah terdahulu, piramid dibina di kawasan yang berdekatan dengan sumber alam bagi memudahkan urusan-urusan masyarakat. Piramid didirikan sebagai pusat kegiatan masyarakat tersebut, tak kiralah dari segi ekonomi mahupun spiritual. 

Masyarakat zaman dahulu tidak mengehadkan fungsi piramid, dengan setiap piramid mempunyai fungsi berbeza mengikut masyarakatnya sendiri. Orang Mesir purba membina piramid untuk dijadikan makam atau kubur pemerintah mereka. Orang Mesoamerika pula menjadikan bangunan berbentuk piramid sebagai salah satu pusat acara menyembah Tuhan mereka.

Oleh kerana ketinggian piramid yang dibina, orang zaman dahulu percaya bahawa ketua-ketua agama mereka mampu berkomunikasi dengan Tuhan mereka dengan lebih dekat. Maka, bahagian atas piramid itu dijadikan kawasan pemujaan ritual masyarakat zaman tersebut. Fungsi sedemikian dapat dilihat pada piramid-piramid yang terletak di India dan China.

Mengapa Bentuk Piramid?
Asal-usul bentuk piramid sebenarnya bukanlah datang daripada imaginasi tanpa asas masyarakat zaman dahulu. Ilham untuk membentukkan bangunan mereka sama seperti sebuah piramid berpunca daripada bentuk gunung dan bukit yang mengelilingi kawasan mereka. Bentuk tersebut memberikan mereka inspirasi dan meniru 'rekaan' tersebut ke dalam bentuk bangunan. Setiap piramid yang dibina mempunyai bentuk asas yang sama. Tapaknya berbentuk segiempat sama dengan empat sisi berbentuk segitiga yang condong. Walau demikian, orang Mesir yang terkenal dengan piramid mereka, dikatakan mendapat inspirasi daripada seni binaan masyarakat mereka sendiri yang digelarkan 'mastaba.'

Berbeza dengan piramid sebenar, 'mastaba' adalah sebuah binaan yang lebih rendah kerana bumbungnya yang rata, sesuai dengan makna namanya iaitu 'tempat duduk.' Ia diperbuat daripada bata tanah liat pada mulanya sebelum digantikan dengan batu, bentuk mastaba tidak semestinya berbentuk segiempat sama. Kebiasaannya, panjang mastaba empat kali ganda lebarnya, dengan ketinggian mencecah 30 kaki.

Faktor pengaruh agama dan keinginan untuk membina bangunan yang lebih tinggi, bentuk piramid telah dipilih berdasarkan kestabilannya. Sisinya yang berbentuk segitiga membolehkan pengudaraan yang lebih baik. Air hujan lebih mudah mengalir ke bawah dan ketinggian yang berjaya dicapai menjadikan piramid sebagai mercu tanda serta penunjuk lokasi, bagi mereka yang tinggal atau datang ke situ.

Pada masa kini, piramid merupakan tinggalan sejarah yang membuktikan kebolehan manusia membina struktur bangunan yang tinggi suatu masa dahulu. Hal ini mengungkapkan orang zaman dahulu telah mencapai satu tahap yang mengagumkan, walaupun jika dibandingkan dengan teknologi zaman sekarang.


Share:

No comments:

Post a Comment

My Profile

Salam Perkenalan

Raudhatul Mahabbah



From Kota Kinabalu

ADs

Popular

Total Pageviews

info

Labels