Kisah Ratu Syahadah, Asiah Isteri Fir'aun

Siapa yang tidak tahu tentang Fir'aun yang terkenal dengan sifat tidak berperikemanusian. Setelah kematian isterinya, dia hidup bersendirian tanpa teman hidup. Pada ketika itu tersebutlah satu kisah di mana seorang gadis jelita dari keturunan keluarga Imran yang baik-baik dan solehah yang bernama Siti Asiah yang sentiasa menjadi sebutan di kalangan pemuda-pemuda Mesir kerana keperibadian dan kejelitaannya.


Kisah kejelitaan Siti Asiah telah sampai kepada Fir'aun dan suatu hari dia teringin untuk memperisterikan Asiah sebagai permaisurinya. Maka diutuskan seorang menteri bernama Haman untuk merisik. Ibu bapa Asiah telah bertanya kepada tuan empunya diri tetapi Asiah telah menolak lamaran tersebut dan berkata kepada kedua ibu bapanya bahawa Fir'aun adalah seorang raja yang ingkar kepada Allah SWT dan tidak berperikemanusiaan. Haman, utusan Fir'aun datang kembali untuk bertanyakan tentang lamaran tersebut dan alangkah marahnya dia setelah mendapat tahu lamaran Fir'aun telah ditolak.

Ibu bapa Asiah telah dicaci dan dihina. Haman kemudian telah pulang dan memberitahu Fir'aun akan berita buruk tersebut dan Fir'aun menjadi marah dan memerintahkan supaya kedua ibu bapa Asiah ditangkap. Mereka telah diseksa dan dimasukkan ke dalam penjara. Setelah itu Asiah ditangkap dengan menggunakan kekerasan dan kemudian dibawa ke istana Fir'aun dan bertemu dengannya. 

Di hadapan Fir'aun, Asiah kemudiannya telah dipertemukan dengan kedua ibu bapanya di dalam penjara. Asiah amat sedih melihat keadaan kedua orang tuanya yang disiksa oleh Fir'aun. Kemudian Fir’aun berkata : "Hai Asiah, jika engkau seorang anak yang baik, tentulah engkau akan sayang terhadap orang tuamu, maka oleh kerana itu engkau boleh pilih satu antara dua. Kalau kau menerima lamaranku bererti engkau akan hidup senang dan akan aku bebaskan kedua orang tuamu. Dan sebaliknya jika engkau menolak lamaranku,maka aku akan perintahkan mereka untuk membakar hidup-hidup kedua orang tuamu di hadapanmu."

Disebabkan oleh ancaman itu, maka Asiah terpaksa menerima pinangan Fir'aun akan tetapi dia telah meletakkan beberapa syarat :
  1. Fir'aun harus membebaskan kedua ibu bapanya.
  2. Harus membuatkan rumah yang indah lengkap dengan perkakas.
  3. Orang tuanya harus dijamin kesihatan beserta makan dan minumnya.
  4. Asiah bersedia menjadi isteri Fir’aun, hadir dalam acara-acara tertentu tetapi tidak bersedia tidur bersama Fir'aun. Sekiranya permintaan-permintaan tersebut tidak dipersetujui, beliau rela mati dibunuh bersama kedua ibu bapanya. Akhirnya Fir'aun bersetuju menerima syarat-syarat tersebut dan memerintahkan agar rantai belengu yang ada di kaki dan tangan Asiah dibuka.

Kini Asiah telah hidup mewah dan tinggal bersama-sama Fir'aun di dalam istana yang indah. Akan tetapi itu tidak membawa pengaruh terhadap kehidupan peribadi Asiah. Asiah tidak pernah ingkar terhadap perintah agama dan beliau tetap taat mengerjakan ibadah kepada Allah SWT. Pada malam hari, Asiah selalu mengerjakan solat dan beribadah kepada Allah SWT. Dia sentiasa berdoa agar kehormatannya tidak disentuh oleh orang kafir meskipun suaminya Fir'aun. Bagi menyelamatkan Asiah dan menjaga kehormatannya, Allah SWT telah menciptakan iblis yang menyamar dirinya sama seperti rupa Asiah untuk tidur bersama Fir'aun. 

Fir'aun sebenarnya mempunyai seorang pegawai yang amat dipercayai dan rapat dengannya yang bernama Hazaqil. Hazaqil telah berjaya merahsiakan identitinya yang sebenar. Hazaqil amat taat dan beriman kepada Allah SWT. Beliau adalah suami kepada Siti Masyithah yang bekerja sebagai juruhias istana yang juga amat taat dan beriman kepada Allah SWT.

Pada suatu hari, terjadilah perdebatan yang hebat antara Fir'aun dengan Hazaqil di mana Fir'aun telah menjatuhkan hukuman mati terhadap ahli sihir yang beriman kepada Nabi Musa AS. Hazaqil menetang keras terhadap hukuman yang dijatuhkan kepada mereka semua kerana mereka semuanya beriman kepada Allah SWT. Mendengar akan kata-kata Hazaqil, Fir'aun menjadi marah.

Akhirnya Fir'aun dapat tahu yang Hazaqil telah ingkar dan Hazaqil telah dijatuhkan hukuman mati kepada Hazaqil. Hazaqil menerimanya dengan tabah dan tidak merasa gentar demi untuk membela kebenaran. Hazaqil telah meninggal dunia dengan kedua-dua tangannya diikat pada pohon kurma dengan tembusan beberapa anak panah. Isterinya yang bernama Masyitah amat sedih sekali di atas kematian suaminya yang tersayang itu. Beliau sentiasa dirundung kesedihan dan tiada lagi tempat mengadu kecuali kepada dua orang anaknya yang masih kecil.

Pada suatu hari Masyitah telah mengadu nasib kepada Asiah mengenai nasib yang menimpa dirinya. Di akhir perbicaraan mereka, Asiah juga telah menceritakan tentang keadaan dirinya yang sebenar. Barulah kedua-duanya mengetahui perkara sebenar bahawa mereka adalah wanita yang amat beriman kepada Allah SWT dan Nabi Musa AS. Pada suatu hari ketika Masyitah sedang menyisir rambut puteri Fir'aun, sisirnya jatuh dan ketika hendak mengambilnya, Masyitah seraya berkata 'Bismillah' yang membawa maksud 'dengan nama Allah'. Terdengar ucapan tersebut, puteri Fir'aun telah melaporkan hal tersebut kepada Firaun. Firaun dengan segera menangkap pendandan rambut itu dan keluarganya. Seorang demi seorang anaknya dihumban ke dalam lubang dipenuhi dengan tembaga yang menyala dengan api.

Asiah yang telah menyaksikan kejadian itu telah memarahi Fir'aun dengan kata-kata yang pedas dan tidak sudi lagi menjadi isteri Fir'aun dan sanggup mati seperti Masyitah. Mendengar ucapan Asiah, Fir'aun telah menjadi marah dan menganggap bahawa Asiah gila. Fir'aun kemudiannya telah menyiksa Asiah tanpa diberi makan dan minum sehingga Asiah meninggal dunia. Tetapi sebelum menghembuskan nafas yang terakhir, ia sempat berdoa kepada Allah SWT sebagaimana yang tersirat dalam Al-Quran yang maksudnya:

Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisi-Mu dalam Syurga, dan selamatkanlah aku dari Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas), serta selamatkanlah aku dari kaum yang zalim. (At-Tahriim 66:11)

Sedangkan Asiah seorang Ratu di samping Fir'aun pun beriman kepada Tuhan Yang Maha Esa sehingga sanggup mengorbankan nyawanya sendiri, maka kita sebagai orang biasa harus turut beriman teguh kepada Allah. Asiah pernah hidup dengan kemewahan yang tidak dapat kita bayangkan, namun dia tahu bahawa kekayaan dunia tidak kekal berbanding pengakhiran di akhirat kelak.


Semoga menjadi iktibar buat kita. Wallahu'alam.


Share:

No comments:

Post a Comment

My Profile

Salam Perkenalan

Raudhatul Mahabbah



From Kota Kinabalu

ADs

Popular

Total Pageviews

info

Labels