Indahnya Lailatul Qadar



Sayangnya, sekarang kita sibuk dengan persiapan lebaran. Saf-saf di masjid pun semakin lama semakin berkurang kerana segelintir daripada kita meluangkan masa pergi ke pusat beli-belah, pasar, membeli berbagai kelengkapan untuk menyambut hari raya yang bakal tiba tidak lama lagi. Masih ada di antara kita yang terleka dengan dunia "rayanya" walhal mereka lupa dengan keindahan malam Lailatul Qadar yang bakal tiba.

Keutamaan Lailatul Qadar
Lailatul Qadar disebut dalam dua surah al-Quran. Dalam surah ad-Dukhan Allah menyifatkannya dengan malam yang mendatangkan keberkatan (Lailah Mubarakah) yang di dalamnya diselesaikan segala urusan. Firman Allah SWT:

"Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Quran) di malam yang penuh keberkatan. Sesungguhnya Kami adalah orang-orang yang memberi peringatan. Di dalamnya diselesaikan segala urusan yang penuh hikmah." (QS. Ad-Dukhan : 3-6).

Surah al-Qadar Allah menyifatkannya dengan sifat yang mulia, iaitu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Malaikat turun di dalamnya. Dan malam itu merupakan salam (kesejahteraan) bagi manusia. Allah SWT berfirman:

"Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada 'malam kemuliaan' dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turunlah malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sehingga terbit fajar.” (QS. Al Qadar :1-5).

Ada riwayat yang mengatakan bahawa bilangan Malaikat yang berada di bumi pada malam itu lebih banyak daripada pasir dan Allah menerima taubat semua orang yang bertaubat pada malam itu. Pada malam itu dibuka segala pintu langit, sejak dari terbenam matahari sehingga terbitnya fajar. Jibril turun bersama dengan serombongan Malaikat. Lalu mereka menancapkan panji-panjinya di empat tempat:

Pertama, di sisi Ka'bah
Kedua, di sisi kubur Rasulullah SAW
Ketiga, di sisi Masjid Baitul Maqdis
Keempat, di sisi Masjid Tursina

Kemudian mereka bertebaran ke seluruh pelusuk bumi, memasuki rumah-rumah orang mukmin sambil bertasbih, bertaqdis, dan memohon ampun bagi umat Muhammad SAW.

Waktu Terjadinya Lailatul Qadar
Ibnu Hazm berkata: "Lailatul Qadar sekali sahaja dalam setahun di bulan Ramadhan sepuluh yang terakhir dan di suatu malam yang ganjil. Jika bulan itu 29 hari, maka permulaan sepuluh yang akhir, ialah malam 20 dan malam qadar itu adalah malam 20, adakalanya di malam 22, adakalanya di malam 24, 26, atau di malam 28. Jika bulan itu penuh 30 hari, permulaan puluhan yang akhir ialah malam 21. Maka malam Al-Qadar adakalanya di malam 21, 23, 25, 27, atau di malam 29."

Dalam suatu hadis riwayat Muslim daripada Ibnu Umar, bahawa Nabi SAW. bersabda :
"Carilah Lailatul Qadar pada sepuluh yang akhir, jika seseorang lemah mencari, maka janganlah kamu kalah dalam mencari pada tujuh yang terakhir."

Tanda-tanda Lailatul Qadar
Para ulama berselisih pendapat tentang tanda-tanda datangnya Lailatul Qadar. Beberapa tanda yang dapat dilihat oleh mereka yang mendapatkannya, antaranya:
Orang yang mendapati malam Al-Qadar itu melihat bahawa segala sesuatu yang ada di bumi dan di langit bersujud kepada Allah. Ada juga yang mendapati malam itu melihat bahawa alam terang benderang, walaupun di tempat-tempat yang gelap sekalipun. Ada juga yang mendapati malam itu mendengar salam para malaikat dan tutur katanya. Ada juga yang mendapati malam itu diperkenankan segala doanya.

Adapun pahala ibadat tetap diperolehi meskipun tanda-tanda tersebut tidak dapat dilihatnya. Sedangkan bagi mereka yang melihat tanda-tanda malam Al-Qadar, hendaklah menyembunyikan dan terus berdoa dengan bersungguh-sungguh, ikhlas dan khusyu', dengan doa apa sahaja yang digemarinya, keduniaannya atau akhiratannya, dan hendaklah ia berdoa untuk akhiratnya lebih banyak dan lebih kuat daripada untuk dunianya.

Keutamaan Ibadah di Malam Al-Qadar
Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah, bahwa Nabi SAw bersabda:
"Siapa sahaja yang mengerjakan ibadah di malam Al-Qadar kerana imannya kepada Allah dan kerana mengharapkan keredhaan-Nya, nescaya diampunilah dosanya yang telah lalu."

Menghidupkan Malam Al-Qadar
Menghidupkan malam Al-Qadar ialah dengan mengerjakan taat, bertahajjud, beristighfar, berzikir, membaca Al-Quran serta beri'tikaf, menambahkan amalan ihsan, memperbanyak sedekah dan lain-lain.

Para hartawan dahulu mempergunakan bulan Ramadhan untuk berlumba-lumba memenuhi keperluan orang-orang yang memerlukan bantuan, sebagai satu usaha memenuhi seruan agama dan meneladani Rasul. Mereka menyembunyikan sedekah-sedekah mereka sehingga tidak diketahui tangan kiri, apa yang diberikan oleh tangan kanan.

Sebahagian hartawan dahulu menanti-nanti Lailatul Qadar, malam Allah melipat gandakan pahala. Mereka menyembunyikan dirinya, mencari keluarga-keluarga yang miskin di malam buta. Mereka memberikan segala yang dibawanya kepada keluarga miskin, tanpa dikenali oleh yang menerima pemberian itu. Mereka pulang ke rumah tanpa diketahui siapa diri mereka.

Inilah suatu adab yang tinggi yang amat baik bagi kita dalam meneladani sikap para ulama kaum muslimin terdahulu.

Berdoa di Malam Al Qadar
Aisyah diperintahkan berdoa di malam Al-Qadar. Sufyan Ats Tsauri berkata:
"Berdoa pada malam Al-Qadar, lebih saya sukai daripada solat.
Apabila seorang membaca Al-Quran, berdoa serta meningkatkan doanya kepada Allah, mudah-mudahan dia memperolehi waktu yang mustajab."

Rasululah SAW bertahajjud di malam-malam bulan Ramadhan, membaca Al-Quran dengan tertib. Beliau tidak melalui ayat Rahmat, kecuali beliau memohonnya kepada Allah. Beliau tidak melalui ayat azab, kecuali beliau melindungkan diri kepada-Nya. Beliau mengumpulkan antara solat, qira'at, doa dan tafakkur.

Dalam satu Hadis dari Ibnu Abbas, Rasulullah saw. bersabda:
"Sesungguhnya Allah melihat pada malam Al-Qadar kepada orang-orang mukmin dari umat Muhammad, lalu mereka diampunkan dan dirahmati-Nya, kecuali empat orang, iaitu peminum arak, penderhaka kepada ibu-bapa, orang yang selalu bertengkar dan orang yang memutuskan tali silaturahim."

Marilah sama-sama kita mengisi detik-detik terakhir bulan Ramadhan ini dengan melaksanakan ketaatan dan amal soleh, seperti doa, zikir, istighfar, solat malam, membaca al-Quran, bersedekah kepada para faqir miskin dan semoga Allah menerima segala amalan-amalan kita dan kita meraih indahnya Lailatul Qadar, malam 1000 buIan In Shaa Allah. 
Share:

No comments:

Post a Comment

My Profile

Salam Perkenalan

Raudhatul Mahabbah



From Kota Kinabalu

ADs

Popular

Total Pageviews

info

Labels