• slide 1

    Perjalanan kepadanya terkadang memerlukan rasa sakit untuk lebih mendekatkan diri kepada sang pemilik hati

  • slide 2

    Hati ini mahal dan berharga. Mengapa mahal? Kerana di situlah Allah melihat kita, bukannya paras rupa.

  • slide 3

    Senyum dan bersyukurlah atas nikmat yang Allah SWT sisipkan untuk kita semua.

  • slide 4

    Manusia menilai apa yang dilihat dan dengar tentang kita. Tapi Allah menilai apa yang ada di hati kita. Jaga hati.

  • slide 5

    Its better to just quietly miss someone rather than to let themknow and get no responses.

Adat Kematian Suku Kaum Rungus

 1.0 PENDAHULUAN
Sabah yang dikenali dengan nama “Negeri Di Bawah Bayu’ merupakan sebuah negeri yang unik dan terkenal dengan kepelbagaian kebudayaan suku kaumnya. Terdapat kira-kira 2.5 juta penduduk Sabah merangkumi lebih daripada 30 suku kaum dan kira-kira 80 dialek bahasa. Penduduknya terdiri daripada kaum Kadazan atau Dusun, Bajau, Murut, Kelabit, Rungus dan lain-lain. Perbezaan di antara berbagai-bagai suku kaum tersebut adalah ketara terutama sekali dari segi bahasa, agama, adat istiadat  dan pegangan hidup termasuklah pakaian tradisi mereka.

Suku kaum Rungus merupakan antara kaum yang terkenal di Sabah kerana memaparkan identiti dan jati diri mereka yang unik dan tersendiri. Suku ini merupakan penduduk terbesar di kawasan utara Sabah. Mereka adalah penduduk asli kepulauan Borneo sejak berabad-abad lamanya. Etnik ini mempunyai adat resam yang diwarisi sejak turun-temurun termasuklah adat kematian. Kajian ini akan membincangkan tentang adat kematian dalam suku kaum Rungus. Adat kematian tersebut merangkumi hukum adat kematian dan pantang larangnya. Suku kaum Rungus sangat menekankan hukum adat dalam tradisi mereka kerana memiliki kepentingan tertentu yang menggambarkan corak budaya dan menjamin keutuhan sistem kemasyarakatan mereka. Hukuman dan pantang larang tersebut merupakan kawalan sosial yang mempereratkan hubungan antara individu, keluarga dan masyarakat serta mengelakkan wujudnya berlaku gejala buruk kepada mereka.

1.1 OBJEKTIF KAJIAN

Objektif kajian ini ialah:
(a) Menbincangkan latar belakang dan taburan suku kaum Rungus
(b) Mengkaji tentang Adat Kematian dalam suku kaum Rungus khususnya hukum adat kematian mereka.

1.2 PERMASALAHAN KAJIAN
Suku kaum Rungus merupakan etnik yang hanya terdapat di Sabah, iaitu di bahagian utara Sabah. Adat resam suku kaum ini memanifestasikan bahawa mereka sangat mementingkan hukum adat dan pantang larang dalam kehidupan seharian mereka. Justeru itu, adat yang diwarisi mengutamakan muafakat dan memancarkan identiti mereka. Adat kematian khususnya memiliki keunikan yang tersendiri dan kontradiksi dengan adat resam etnik lain. Kajian mengenai adat kematian suku ini memaparkan bahawa suku kaum Rungus berpegang teguh dengan hukum adat mereka untuk mengekalkan warisan tradisi serta menjamin kesejahteraan sosial melalui hukum dan pantang larang yang ditetapkan secara kolektif. 
  
1.3 BATASAN KAJIAN
Kajian ini berfokuskan kepada adat kematian dalam suku kaum Rungus di Kudat, iaitu hukum adat kematian mereka. Hukum adat kematian dalam etnik Rungus ini diklasifikasikan kepada sepuluh kategori yang memperlihatkan prosedur dan hukum yang dikenakan dalam beberapa keadaan selaras dengan hukum adat yang dipegang. Justeru, hukum adat ini mampu mencorakkan hiup mereka mengikut wadah yang telah dipersetujui secara bersama sejak turun-temurun.


2.0 LATAR BELAKANG SUKU KAUM RUNGUS DI SABAH
Kudat seperti daerah yang lain mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Sejak pada zaman silam menurut legenda masyarakat peribumi di Kudat, kaum Rungus telah datang di kawasan ini kerana mendapat kuasa dari Bobolizan atau Bobohizan. Menurut ramalan yang dilakukan oleh Bobolizan yang terkemuka pada zaman itu mereka akan mendapat kehidupan yang baik di kawasan itu. Menurut istilah Bobohizan kawasan itu adalah dipanggil sebagai "Dila Tana" yang bermaksud "Lidah Tanah". Menurut Jeubirin Bin Sopital, (2000:47-48), masyarakat Rungus memang mempercayai bahawa mereka berasal dari sebuah rumah panjang di dalam sebuah kampung yang dipanggil Nunuk Ragang sebelum mereka berhijrah ke arah utara (daerah Kudat pada masa kini). Ini selari dengan kepercayaan suku-suku kaum Kadazan-Dusun yang lain di Sabah, bahawa mereka berasal dari Nunuk Ragang atau Pokok Ara Merah, meskipun tidak pernah menyebut secara tepat tempat tersebut. Walau bagaimanapun, terdapat satu tempat di Ulu Labuk di Tampias (Tempios, Ranau) yang dipercayai tempat asal seperti yang diceritakan dalam Legenda Nunuk Ragang tersebut. Tempat itu dahulunya dikenali sebagai Nunukaragangan, yang mana dari sanalah agaknya mereka berpecah dan menjadi pelbagai nama suku dan puak sebagaimana adanya pada masa kini (Arena Wati, 1978:9, dalam Jeubirin Bin Sopital, 2000:47).

Rungus merupakan salah satu dari suku kaum di Sabah dan juga merupakan salah satu penduduk asli kepulauan Borneo. Rungus biasanya dikenali sebagai Dayak Dusun, Dayak Laut, Momogun, Momogun Rungus, Momogun Laut, Dusun Laut atau Rungus. "Rungus" berasal dari perkataan Rungsud iaitu nenek moyang suku kaum Rungus yang berhijrah dari kawasan Nunuk Ragang ke pesisiran pantai di Semenanjung Kudat, Teluk Marudu, Pitas, Beluran dan Telupid. Suku kaum Rungus adalah masyarakat yang tinggal di desa, yang mana anak-anak gadisnya sangat pemalu, begitu juga wanita yang sudah berkahwin, apabila berhadapan dengan tetamu terutama tetamu yang bukan sekaum atau tetamu yang datang dari pihak kerajaan. Pengucapan bahasa Rungus mungkin kedengarannya sedikit kasar dan keras, tapi mereka sangat baik, peramah, lemah lembut dan amat menghormati serta memuliakan tetamu. Biasanya orang-orang Rungus dewasa tidak berada di rumah (binatang) pada waktu siang kerana semuanya bekerja di ladang (tagad atau umo) atau di mana-mana juga. Mereka hanya ada di rumah pada waktu malam.

3.0 TABURAN PENDUDUK SUKU KAUM RUNGUS
Suku kaum Rungus atau dikenali sebagai etnik Momogun Rungus hanya didapati di dunia ini di Tanah Borneo, iaitu bahagian utara. Mereka mendiami bahagian selatan semenanjung Kudat dan wilayah tengah Melabong, Kudat, Sabah. Apple (1968) mengemukakan bahawa secara topografi, kedudukan suku kaum Rungus di muka bumi ini ialah pada 6°36' - 6° 53' Utara dan 116° 37' - 117° 14' Timur. Dua pertiga (2/3) daripada jumlah mereka berada di Semenanjung Kudat dan bahagian selatan Semenanjung Kudat. Satu pertiga lagi (1/3) berada di Utara dan tengah Semenanjung Bengkoka. Kebanyakan mereka berada di daerah Kudat, diikuti oleh daerah Pitas dan Kota Marudu.

  Nama Kudat berasal dari 2 lagenda tempatan iaitu " kutad " yang bermaksud ' Rumput Lalang " dari suku kaum terawal di daerah Kudat iaitu Rungus rumpun dari suku kaum Kadazan Dusun.  Bahagian Kudat mempunyai tiga daerah iaitu Kudat, Pitas dan Kota Marudu. Kudat dihuni oleh 65 peratus daripada orang Rungus dan selebihnya, iaitu 35 peratus terdiri daripada Orang Sungai, Bajau, Suluk, Bugis dan Cina. Ini bermakna populasi orang Rungus berada di daerah ini mendominasi berbanding suku etnik lain di Kudat.

     Daerah Kudat dianggap sebagai petempatan asal orang Rungus, khususnya di daerah kecilnya yang bernama Matunggong. Di sekitar daerah kecil Matunggong, komuniti Rungus lebih cenderung untuk melihat diri sebagai Momogun (Ong 1994: 153),iaitu orang tanah sini, atau orang tempatan. Mereka mempertahankan kawasan mereka sehidup semati dan itulah petempatan kekal mereka. Kawasan rungus terbahagi kepada beberapa petempatan kekal mengikut puak iaitu Puak Pilzapazan, Puak Gonsomon, Puak Nulzuw, Puak Gandahon, Puak Rungus Kirangavan (kampung asal Aki Rungsud), dan Puak Rungus Tupak. manakala Rungus yg di luar dari daerah Kudat. Pitas, marudu di kenali sebagai Rungus Piromitan dan Rungus Tindal Sondot (mereka ini tertumpu di Beluran, Telupid, Kinabatangan dan Kota Belud).


4.0 KONSEP ADAT RESAM
Adat menurut Abdullah Siddik (1975) dalam Pengantar Undang-undang Adat berasal dari perkataan ‘addah’ yang bermaksud kebiasaan. Walaupun berasal daripada perkataan Arab, namun perkataan ini sudah sedia ada dalam masyarakat di Alam Melayu termasuklah masyarakat peribumi Sabah dan Sarawak, Orang Asli di Semenanjung Malaysia Barat, Sumatera dan Kalimantan. Secara umumnya, adat merujuk kepada satu cara hidup atau budaya yang menjelaskan satu cara hidup. Zainal Kling dalam Adat: Collective Self-image berkonsepsikan bahawa: 

"Adat refers to the indigenous body of knowledge and law of Malay world."
    (Images of Malay-Indonesian Identity, 1997: 45)

Adat diklasifikasikan kepada adat yang sebenar adat, adat yang diadatkan, adat yang teradat, adat istiadat dan adat resam. Nordin Selat (1976) mendefinisikan adat resam dalam tulisannya Sistem Sosial Adat Pepateh sebagai aspek kebiasaan atau kelaziman yang dilakukan oleh manusia dari aspek perbuatan, berpakaian, berbahasa, makan dan minum, menghias diri dan sebagainya. Adat yang merangkumi seluruh aspek bermula dari kelahiran, perkahwinan sehinggalah kematian terdapat dalam kehidupan semua masyarakat di Malaysia. Adat resam merupakan kebiasaan cara hidup yang diamalkan oleh sesebuah masyarakat yang dapat menggambarkan corak budaya masyarakat tersebut. Adat resam masyarakat di Malaysia boleh dilihat berasaskan ras-ras seperti adat resam masyarakat Melayu, adat resam masyarakat Cina, adat resam masyarakat India, adat resam masyarakat etnik Sabah, adat resam masyarakat etnik Sarawak dan adat resam masyarakat orang Asli.

Masyarakat Rungus pada asalnya merupakan masyarakat petani yang menanam padi, jagung, segala jenis ubi kayu dan pelbagai jenis sayur-sayuran selain menternak binatang seperti ayam, kerbau dan lain-lain. Mereka terkenal dengan hasil-hasil kerja tangan atau kraftangan terutamanya dalam menghasilkan barang-barang yang diperbuat daripada tembaga, seramik, gong dan manik. Selain itu, etnik ini memiliki warisan budaya dan adat resam yang unik dan bernilai tinggi seperti perkahwinan, kesenian dan kematian. Kajian ini membincangkan tentang adat resam suku kaum Rungus di Sabah yang berfokus kepada adat kematian. Suku kaum Rungus merupakan sub etnik di Sabah yang terkenal dengan adat resamnya yang unik, variasi dan diwarisi sejak daripada turun-temurun lagi. Hukum adat kematian dan pantang larang semasa kematian menjadi landasan utama kajian ini kerana secara literalnya, kaum Rungus memiliki keistimewaan yang tersendiri dan berbeza dengan etnik lain di Sabah.  

5.0 ADAT KEMATIAN
     Dalam manusia menempuh hidupnya, manusia melalui pusingan kehidupan (life cycle) bermula dia dilahirkan sehingga dia tiada di bumi ini. Abdullah Siddik (1975) menyatakan bahawa hidup manusia ini ada tahap-tahap atau peringkatnya, iaitu dari dalam perut ibu, tahap bayi, tahap kanak-kanak, tahap remaja, tahap muda, tahap bujang, tahap bersuami isteri, beranak, bercucu dan akhirnya mati. Setiap tahap dilalui dan disambut dengan pelbagai upacara atau istiadat termasuklah kematian. Proses sosialisasi yang dilalui manusia merupakan suatu fitrah yang tidak dapat ditolak khususnya pengakhiran kepada hidup seseorang di dunia ini, iaitu kematian. 

    Kematian secara etimologi death berasal daripada perkataan deeth atau deth yang bermaksud keadaan mati atau kematian. Kematian merupakan proses normal kehidupan yang pasti ditempuhi oleh manusia. Setiap suku kaum mempunyai adat dan pantang larang tersendiri mengenai kematian. Kematian dalam etnik Rungus terdiri daripada pelbagai pantang larang dan hukum adat yang perlu dipatuhi dan dipraktikkan demi kesejahteraan hidup mereka. Pantang larang dan hukum adat ini menjadi tunggak utama etnik Rungus untuk kesinambungan hidup, menghormati dan mengekalkan identiti nenek moyang mereka yang diwarisi sejak turun-temurun.  

    Adat resam suku kaum Rungus ini juga mempunyai kaitan dengan kepercayaan animisme. Menurut Paul Porodong (1999: dalam Jeubirin Bin Sopital, 2000:37), kepercayaan tradisional masyarakat Rungus merupakan satu bentuk kawalan sosial yang paling kuat. Kepercayaan tradisional turut menjadi asas terpenting dalam pembentukan adat dan pantang larang. Oleh itu, secara ringkasnya amalan pantang larang wajud melalui rasa hormat masyarakat Rungus kepada kuasa supernatural. Kepercayaan animisme yang mengatakan kuasa supernatural sentiasa berada di persekitaran manusia menjadikan pantang larang sebagai peringatan kepada masyarakat Rungus agar sentiasa menjaga hubungan baik dengan kuasa supernatural ketika melakukan aktiviti harian. 

    Dalam masyarakat Rungus, tugas memperingatkan masyarakat dan sumber rujukan tentang pantang larang ialah bobolizan di samping sebagai pengupacara ritual untuk mendamaikan hubungan manusia dan kuasa supernatural yang terganggu akibat pelanggaran pantang larang. Walau bagaimanapun, sumber rujukan bagi adat-istiadat dan hukuman-hukuman adat ialah para pemimpin (vozoon), iaitu ketua-ketua kampung (osukod), atau orang-orang tua yang pakar dalam undang-undang adat di kalangan masyarakat Rungus.


5.1 HUKUM ADAT KEMATIAN DALAM SUKU KAUM RUNGUS
Adat resam suku kaum Rungus ini juga mempunyai kaitan dengan kepercayaan animisme. Menurut Paul Porodong (1999), kepercayaan tradisional masyarakat Rungus merupakan satu bentuk kawalan sosial yang paling kuat. Kepercayaan tradisional turut menjadi asas terpenting dalam pembentukan adat dan pantang larang. Hukum adat ini Ianya menjadi kawalan sosial yang memperkukuhkan institusi keluarga, kehidupan bermasyarakat dan kerukunan tinggal sekampung, apa lagi dalam konteks rumah panjang yang mana tali silaturrahimnya begitu kukuh dan teguh. Hukum adat kematian dalam suku kaum Rungus diklasifikasikan kepada sepuluh, iaitu:

Hukum adat kematian suami/ isteri
Hukum adat apabila seseorang mati di rumah orang lain
Hukum adat lapau
Hukum adat kosup
Hukum adat bangun
Hukum adat mengusung mayat melintasi ladang dan rumah orang lain
Hukum adat sonsol
Hukum adat mati di ladang
Hukum adat mati jatuh dari pokok
Hukum adat mati di laut

5.1.1 Hukum Adat Kematian Suami atau Isteri 
Suami atau isteri masih hidup harus menurut arahan orang tua-tua semasa hari pengkebumian dan Mogukas atau Lumuvas (Kenduri Kematian) dijalankan. Suami atau isteri masih hidup diberi amaran dan Lapik Banda dan tidak dibenarkan bercampur-gaul dengan orang ramai seperti menari sumundai mongigol ketika hari Mogukas atau Lumuvas. Suami atau isteri yang masih hidup juga diperintahkan oleh orang tua-tua supaya semua pakaian si mati tidak dibawa bersama ketika pengkebumian, disimpan rapi, dimasukkan ke dalam peti atau dibungkus (Dompihor). Pakaian si mati tidak boleh dibuka sembarangan sebelum tiba masa diberitahu oleh orang tua-tua. Suami atau isteri masih hidup diarah membuat tapai (sejenis arak dari beras) dalam tempayan kecil yang dipanggil tulidan. Dia tidak dibenarkan berpakaian menarik sehingga selesai Mogukas atau Lumuvas.

      Selain itu, dia dikehendaki menyediakan seekor khinzir besar atau kecil, beras dan barang-barang lain dirasakan perlu untuk roh si mati. Apabila tiba masa yang sesuai, ketua kampung, bobolian, semua waris si mati dijemput menyaksikan pembinaan pondok penyembahan. Upacara ini dipanggil Pemanapakan Sumbingan. Setelah selesai pembinaan pondok, khinzir yang disediakan itu ditangkap dan disimpan di pondok. Sebelum itu, kubur si mati dibersihkan petang sebelum Pemanapakan Sumbingan. Khinzir yang disimpan dalam pondok disembelih dan dimasak. Sedikit daging yang dimasak akan diambil dan dibawa ke kubur bersama tapai dalam tulidan, mangkuk, pinggan dan gelas telah disediakan. Kedua waris berhimpun di kubur. Orang ramai yang bersimpati berada di perkuburan untuk memberi penghormatan terakhir. Mereka makan dan minum di atas kuburan kemudian memecahkan kesemua barang yang dibawa dari rumah seperti tempayan, pinggan, mangkuk dan gelas.

      Kesemua yang datang harus pulang ke rumah keluarga yang mengadakan Lumuvas untuk upacara memukul gong dan menari sumundaimongigol. Bagi mengakhiri upacara, waris keluarga si mati harus menari sumundaimongigol. Selesai tarian sumundaimongigol, Suami/Isteri masih hidup bebas daripada Adat Dompihot. Kemudian, barulah orang tersebut membayar Adat Todung kepada mertua atau waris si mati. Adat Todung ini berupa 1 gadul atau salapa. Adat kovobhan mato 1 sanang tinakul menandakan Suami/Isteri masih hidup merupakan duda atau balu. Dalam bahasa Rungus ianya dipanggil Tulun doNapuadan. Maka orang yang dipanggil Tulon do Napuadan ini bolehlah berkahwin semula mengikut kerelaannya.

5.1.2  Hukum Adat Apabila Seseorang Mati di Rumah Orang Lain
Dalam adat istiadat suku kaum Rungus, apabila terjadi kematian di kampung atau di rumah orang lain,maka keluarga si mati itu akan dikenakan adat Korivaan atau adat Korungkapan. Keluarga si mati boleh membeli (menyewa) secara sementara rumah tempat si mati meninggal mengikut harga yang dipersetujui oleh tuan rumah. Hal ini supaya pengurusan jenazah dapat dilakukan. Walau bagaimana pun, keluarga si mati tidak boleh mengadakan 'mogukas' iaitu kenduri untuk si mati di tempat tersebut. Ketika perlaksanaan pengurusan jenazah berkenaan, keluarga si mati juga tidak dibenarkan menggunakan apa-apa peralatan milik tuan rumah seperti cangkul,parang, periuk, kuali, pinggan mangkuk dan sebagainya melainkan yang dibeli sendiri.Adapun adat-adat yang dikenakan ialah:

1. Adat korivaan
  • 1 ekor babi 
2. Adat Korungkapan
  • 1 ekor babi
  • 1 buah tawag
3. Adat Labat Minatai
  • 1 ekor babi 
4. Adat Pulanut
  • 1 buah gadur
5. Adat Pukodou
  • 1 bilah parang
6. Adat Purandom
  • 3 ela kain hitam 
Kesemua adat ini harus dilunaskan kepada tuan rumah. Hal ini tidak boleh dihutang atau ditangguh-tangguh tetapi diselesaikan dengan serta-merta.

5.1.3 Hukum Adat Lapau
Lelaki dikenakan sogit kepada isterinya 1 ekor babi atau 1 ekor kambing, pulanut 1 sanang betukul dan 1 parang sebagai pukadou. Perempuan pula dikenakan sogit kampung, 1 ekor babi atau 1 ekor kambing, 1 tinukul dan karol tingkal. Jika lelaki dan perempuan kahwin, si lelaki dikehendaki membayar Rolot, 1 tawag kepada isterinya dan pulanut kepada anaknya tiap-tiap seorang satu saring atau 1 ringgit duit syiling.

5.1.4 Hukum Adat Kosup 
Jika seseorang sedang sakit kuat dan sedang diubati oleh seorang Dukun atau Bobolian, kemudian meninggal sebelum si Bobolian yang mengubati pulang maka keluarga si mati dikenakan adat kosup. Keluarga si mati hendaklah memberi 1 sanang betukul, 1 gador dan 1 ekor babi kepada si Bobolian.  

5.1.5 Hukum Adat Bangun
Adat ini dikenakan kepada orang yang menyebabkan kematian. Contohnya seseorang mencuri, kemudian mati terkena guna-guna (kepandaian) orang seperti popol, sinda’at atau kelulut. Maka, orang yang menyebabkan kematian itu boleh dikenakan Adat Bangun sekiranya ada saksi dan mempunyai bukti kukuh seseorang itu mati kerana perbuatannya. Oleh itu, orang tersebut mestilah memberi 10 sanang kimanis dan 5 ekor kerbau.

5.1.6 Hukum Adat Mengusung Mayat Melintasi Ladang dan Rumah Orang Lain

Jika seseorang yang meninggal dunia dan pihak si mati mengusung mayat tersebut melintasi ladang dan rumah orang lain, maka keluarga si mati itu dikenakan Adat Puod dan Adat Kosusuhutan. Dalam Adat Puod, seekor ayam digunakan sebagai sogit untuk tanaman di ladang yang dilintasi itu. Hal ini kerana tanaman di ladang yang terkena penyakit puod seperti tanaman tidak subur, daun tidak menjadi sihat, kuning-kekuningan dan gugur telah dilintasi oleh sial, iaitu mayat manusia. Menurut Adat Kosusuhutan, seekor babi disembelih untuk memanggil kembali roh orang yang hidup apabila mayat diusung melintasi rumah orang lain. Ini kerana roh yang mati itu dipercayai mengajak roh yang masih hidup untuk sama-sama menyertainya ke alam kematian.

5.1.7 Hukum Adat Sonsol
Hukum Adat Sonsol dikenakan kepada orang yang membuat kesalahan seperti apabila seseorang diamanahka untuk menjaga seseorang itu tetapi mengabaikan tanggungjawabnya. Jika dia membuat masalah agar orang yang dijaganya mendapat bahaya sehingga menyebabkan kematian, maka orang tersebut mestilah membayar 4 sanang Kimanis, 5 buah tawag dan 1 ekor kerbau. Hal-hal lain yang dikenakan Adat Sonsol ialah:

Seseorang yang menyebabkan kematian orang lain dengan menggunakan ilmu hitam. Contohnya ialah seseorang itu bergaduh kemudian mengenakan ilmu hitam seperti popol atau sinda'at sehingga lawannya mati. Selain itu, seseorang itu menyumpah orang lain sehingga orang yang disumpahnya mati. Kedua-dua hal ini, si pesalah akan dikenakan 8 sanang Kimanis, 4 ekor kerbau, 2 buah tawag binubuk dan 2 sanang Kutai.

5.1.8 Hukum Adat Mati Di Ladang
Jika ada orang mati kerana sakit atau kemalangan di ladang, maka si mati itu terpaksa di kubur di ladang itu juga. Mayat si mati tidak boleh dibawa balik ke rumahnya. Mengikut kepercayaan suku kaum Rungus, orang yang mati itu akan membawa bencana buruk kepada kampungnya jika tidak dikebumikan di ladang itu. Jika si mati itu meninggal di ladang orang lain, maka si mati hendaklah dikebumikan di ladang itu juga dengan kawasan seluas 15 kaki persegi termasuk kawasan kuburan itu tidak boleh diusahakan. Keluarga si mati dikehendaki membayar 1 ekor babi dan 3 ekor ayam sebagai sogit ladang, dan 1 sanang betukul atau sumbul sebagai pulanut kepada si empunya ladang berkenaan. Semua ini tidak boleh digantikan dengan wang.

5.1.9 Hukum Adat Mati Jatuh Dari Pokok
Sekiranya seseorang mati kerana jatuh dari pokok, maka mayatnya tidak boleh dibawa ke kampung atau ke rumahnya. Si mati hendaklah dikuburkan di tempat itu juga dan waris si mati tidak boleh berpantang larang.

5.1.10 Hukum Adat Mati Di Laut
Bagi seseorang yang mati di laut, mayatnya tidak boleh dibawa pulang ke rumah melainkan dibuang ke dalam laut mayat tersebut.


6.0 KESIMPULAN
Adat resam bagi setiap kaum di Malaysia mempunyai sistem nilai yang berbeza. Martabat adat itu sendiri berbeza kedudukannya bagi masyarakat Malaysia pada hari ini. Secara keseluruhan setiap bangsa yang terdapat di Malaysia ini khususnya etnik Rungus di Sabah mempunyai adat resam yang tersendiri dan masih diamalkan sehingga kini. Sebagai penduduk yang berbilang kaum di Malaysia, menghormati serta memahami segala kepercayaan yang diamakan oleh setiap kaum sangat perlu demi keharmonian dan kesejahteraan hidup masyarakat. Setiap kaum mempunyai amalan adat resam yang berbeza. Upacara majlis seperti kelahiran, perkahwinan dan kematian yang diadakan oleh setiap kaum secara tidak langsung dapat menyatupadukan kesemua kaum jika mempunyai sifat kunjung-mengunjung, tolong-menolong dan ziarah-menziarahi antara satu sama lain.

Adat kematian dalam suku kaum Rungus mempunyai kepentingan untuk melanjutkan institusi kekeluargaan dan menjamin keutuhan sistem kemasyarakatan. Kematian menyatupadukan etnik Rungus dan menimbulkan kesedaran kepada mereka bahawa kematian merupakan satu perkara yang tidak dapat dielakkan dalam kehidupan dan akan tinggal ialah institusi keluarga yang perlu dipertahankan. Adat kematian ini mempunyai peruntukannya yang tertentu dan pelaksanaannya begitu berkesan sehingga dapat menyatupadukan masyarakat, mewujudkan ketenteraman dan memberikan keadilan. 

Kematian membawa erti perpaduan dan melanjutkan keseimbangan sistem sosial supaya terus berkekalan menjadi bangsa yang memiliki warisan budaya yang tinggi. Adat yang diamalkan memaparkan jati diri suku kaum Rungus yang cintakan muafakat, persefahaman dan bersatupadu serta semangat menanggung bersama sesuatu masalah (mitatabang).


7.0 BIBLIOGRAFI
Abd. Aziz Hj. Manggong, OKK, (Ketua Penyusun),1987. Hukum-Hukum Adat-Istiadat Suku-Suku Kaum Daerah Kota Marudu. Pejabat Daerah Kota Marudu.

Abdullah Sidek, 1975. Pengantar Undang-undang Adat. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.

Appell, G.N., 1968. The Dusun languages of nothern Borneo: the Rungus Dusun and related problems.Oceanic Linguistics, Vol.VII, No.1, Summer, 1968.

Buyong Adil (Haji). 1981. Sejarah Sabah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Michael Hitchcock and Victor T. King, 1997. Images of Malay-Indonesian Identity. Kuala Lumpur: Oxford University Press.

Nordin Selat, 1976. Sistem Sosial Adat Pepateh. Utusan Melayu.

Sumber Internet
Suku Kaum Rungus dalam http://www.sabah.edu.my/itls07013/adatresam.html
http://www.sabah.edu.my/itls07013/sejarah.html
Share:

Kata Tugas: Kata Penyambung Ayat

Kata Penyambung Ayat
Kata Penyambung Ayat
Konsep:
  • Kata penyambung ayat dikenali sebagai kata hubung.
  • Kata ini menghubungkan dua atau lebih binaan frasa, klausa, dan ayat. 
  • Penggunaan kata penyambung ayat menghasilkan bentuk ayat berlapis, dipanggil sebagai ayat majmuk 
 a) Kata Hubung Gabungan
Menghubungkan dua klausa atau lebih yang sama tara sifatnya. Contoh:

dan   lalu   atau   malahan
tetapi   sambil   serta   kemudian

Penggunaan ayat:
1. Siti mengemas rumah dan ibunya membasuh baju.
2. Dia mungkin pergi ke Lahad Datu atau Tawau.
3. Tetamu itu bangun lalu turun ke serambi.
4. Bukan Kayum sahaja yang pemurah malahan isterinya juga dermawan.
5. Ahmad lulus cemerlang dalam peperiksaan tetapi adiknya gagal.
6. Ahmad berkata-kata sambil merenung wajah temannya.
7. Wanita itu memeluk anaknya serta membelai rambutnya.
8. Sampah itu dipungutnya lalu dimasukkannya ke dalam tong sampah.

b) Kata Hubung Pancangan
Menyambung klausa tak setara atau klausa pancangan pada klausa utama atau klausa induk. Terbahagi kepada tiga, iaitu:
  • Kata Hubung Pancangan Relatif
  • Kata Hubung Pancangan Komplemen
  • Kata Hubung Pancangan Keterangan
Kata Hubung Pancangan Relatif

Berfungsi menghubungkan klausa utama (klausa bebas) dengan satu klausa kecil (klausa tak bebas) lain. Penggunaannya menghasilkan ayat majmuk pancangan relatif(ayat relatif). Terdapat satu kata hubung relatif sahaja, tetapi dapat berfungsi dalam subjek dan predikat ayat iaitu yang.

Contoh:
1. Lelaki yang membaca itu abang saya.
2. Buku yang dibelinya itu ialah buku Pengajian Malaysia.
3. Saya membeli kasut yang berwarna merah.
4. P. Ramlee seniman agung yang tidak hilang ditelan zaman.

Kata Hubung Pancangan Komplemen
Berfungsi menghubungkan klausa tak bebas yang menjadi pelengkap pada klausa utama. Penggunaannya menghasilkan ayat majmuk pancangan komplemen (ayat komplemen). Dua contoh kata komplemen ialah bahawa dan untuk.

Contoh:
1. Mereka mengetahui bahawa dia tidak bersalah dalam hal itu.
2. Guru itu menyatakan bahawa pelajarnya sangat rajin.
3. Dia belajar bersungguh-sungguh untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading.

Kata Hubung Pancangan Keterangan
Berfungsi menghubungkan klausa tak bebas yang menjadi keterangan pada klausa utama. Penggunaannya menghasilkan ayat majmuk pancangan keterangan(ayat keterangan). Jenis-jenis kata hubung keterangan: sebab, syarat, tujuan, harapan, cara, waktu, akibat, pertentangan, dan perbandingan.

Agar kerana setelah andai kata ketika
sewaktu apabila meskipun sungguhpun hingga
sekiranya supaya jika(lau) semasa tatkala kalau
sementara untuk kendatipun semoga walaupun

Contoh:
1. Pegawai itu sering dipuji kerana rajin bekerja.
2. Dia bersorak terlalu kuat hingga serak suaranya.
3. Sementara menunggu padi masak, petani itu menanam jagung.
4. Walaupun kurang sihat, dia tetap menghadiri majlis itu.
5. Orang tua itu berdoa semoga keluarganya sentiasa sihat.
6. Kami akan merayu andai kata permohonan itu ditolak.
Share:

Kisah Nabi Musa dan Nabi Khidir



Suatu hari Nabi Musa a.s mengumpulkan para pengikutnya untuk memberikan nasihat agar para pengikutnya selalu beriman kepada Allah dan beriman kepada hari akhirat serta hal-hal yang ghaib. Wahai kaumku, adakah orang yang paling mengetahui hal-hal yang ghaib?” tanya Nabi Musa pada suatu kesempatan.
“Tidak ada satupun di antara kami yang mengetahui hal tersebut, wahai Musa” kata salah satu pengikutnya.
“Ketahuilah bahawa aku adalah manusia yang paling mengetahui hal-hal yang ghaib” kata Nabi Musa. 
Mendengar perkataan Nabi Musa, kaumnya hanya mengangguk-angguk saja. Setelah kejadian itu, Nabi Musa ditegur oleh Allah SWT:
“Wahai Musa! Engkau tidak berhak berkata demikian. Ketahuilah, wahai Musa ada hamba-ku yang paling mengetahui hal ghaib”
“Siapakah hamba-Mu itu, ya Allah?” tanya Nabi Musa ingin tahu.
“Jika engkau ingin menemui hamba-ku, maka berjalanlah engkau. Jika sudah berada di antara pertemuan dua buah lautan maka berhentilah. Dia bernama Khidir” perintah Allah.

Nabi Musa kemudian pergi bersama sahabatnya yang bernama Yusya bin Nun dengan membawa ikan yang diletakkan di dalam keranjang sebagai bekalan. Keduanya pergi dengan berjalan kaki. Sesampainya di sebuah batu yang ada di pinggir pantai, mereka berhenti. “Wahai sahabatku, sebaiknya kita berhenti seketika untuk menghilangkan rasa lelah kita” kata Nabi Musa.

Ketika mereka berehat, tanpa disedari ikan yang ada di dalam keranjang melompat dan jatuh ke dalam laut, ikan itu masuk ke dalam sebuah lengkungan yang sebelumnya sudah Allah sediakan, Yusya sangat terkejut melihat kejadian itu.“Masya Allah, apa yang telah terjadi dengan ikan yang kita bawa. Mengapa ikan itu dapat hidup kembali dan melompat ke arah laut?” tanya sahabat Nabi Musa dalam hatinya.

Setelah itu, Nabi Musa dan sahabatnya kemudian melanjutkan perjalanannya yang jauh, ketika mereka merasa lelah kembali dalam perjalanan, akhirnya mereka berehat sebentar. Nabi Musa berkata kepada sahabatnya, “sahabatku sebaiknya kita berehat dulu. Tolong keluarkan ikan yang kita bawa tadi”

Sahabat Nabi Musa beru teringat akan kejadian yang sebelumnya terjadi dan berkata “Mohon maaf wahai Nabi Musa aku lupa memberitahukan bahwa ketika kita berhenti di sebuah batu yang ada di pinggir laut, ternyata ikan itu melompat ke arah laut dengan cara yang aneh”

Nabi Musa pun berkata “Wahai sahabatku, itulah tempat yang kita cari selama ini! kalau begitu segera kita menuju ke sana.”

Kemudian mereka berpatah balik ke arah yang sebelumnya. Sesampainya mereka di tempat yang dituju, iaitu pertemuan dua lautan, Nabi Musa melihat seseorang yang sedang duduk berselimutkan pakaian yang rapat. Nabi Musa pun mengucapkan salam kepada orang yang sedang duduk tadi 

“Assalamualaikum, aku Musa. Apakah engkau yang bernama Khidir?” tanya Nabi Musa.
“Waalaikumussalam, betul aku Khidir” jawab Nabi Khidir. 
“apakah betul engkau Musa dari Bani Israel?” tanya Khidir lagi.
“Betul, ya Khidir” jawab Nabi Musa. 
“Wahai saudaraku Khidir, bolehkah aku mengikutimu untuk belajar ilmu yang engkau miliki?” pinta Nabi Musa.
“Wahai saudaraku Musa, ketahuilah sesungguhnya engkau, memiliki ilmu yang Allah ajarkan kepadamu yang aku tidak dapat mengetahuinya” jawab Nabi Khidir.
“Musa, sekali-kali engkau tidak akan sabar bersama dengan diriku nanti” tambah Nabi Khidir.
“Tolonglah wahai Khidir aku ingin sekali mengetahui ilmumu” pinta Nabi Musa.
“Baiklah, jika engkau ingin berilmu denganku, engkau jangan sekali-kali bertanya dan menggugat apa yang aku lakukan” pinta Khidir.
“Baik, aku akan melakukan apa yang kamu pinta” jawab Nabi Musa

Musa pun bersetuju dengan permintaan Nabi Khidir. Nabi Musa dan Khidir kemudian berjalan sampai ke sebuah tepian pantai. Di sana banyak perahu-perahu yang sedang bersandar. Mereka meminta kepada salah satu pemilik perahu untuk menghantar mereka ke seberang lautan.

“Wahai saudaraku, mahukah engkau menghantar kami berdua ke seberang lautan?” pinta Khidir.
Kerana pemilik perahu sangat mengenal Nabi Khidir, pemilik perahu pun mengizinkan keduanya naik ke perahu dan menghantar mereka ke seberang lautan.

Kemudian datanglah seekor burung dan hinggap di atas layar perahu. Dilihatnya burung itu menukik ke arah laut beberapa kali. Tiba-tiba Nabi Khidir berkata kepada Nabi Musa “Wahai Musa ilmu yang kita miliki tidak sebanding dengan ilmu Allah, ilmu kita hanyalah seperti lubang yang dibuat burung itu di laut”

Lalu Nabi Khidir bersandar ke dinding perahu dan langsung membocorkan perahu itu.
Alangkah terkejut Nabi Musa melihat apa yang telah dilakukan Nabi Khidir

“Wahai, Khidir! Apa yang telah engkau lakukan? Engkau telah merosakkan perahu milik orang yang telah menumpangkan kita. Bukankah perbuatanmu itu dapat merugikan si pemilik perahu? Kata Nabi Musa.

“Hai Musa, Engkau tidak boleh menanyakan apa yang telah aku lakukan. Kalau engkau ingin mengetahui ilmuku hendaknya diam” pinta Nabi Khidir

“Maaf wahai saudaraku, aku khilaf dan lupa persetujuan kita. Mohon Engkau tidak menghukumku kerana kekhilafanku” jawab Nabi Musa.

Nabi Musa pun kemudian terdiam. Akhirya mereka berdua pun sampai di seberang lautan dan melanjutkan lagi perjalanannya. Di tengah perjalanan mereka bertemu dengan seorang pemuda yang gagah dan tampan wajahnya. Tiba-tiba Nabi Khidir menghampiri pemuda tersebut dan terus membunuhnya. Alangkah terkejut Nabi Musa melihat kejadian tersebut. Musa pun berkata, “Hai saudaraku Khidir, mengapa engkau membunuh pemuda yang tidak bersalah dan berdosa itu?”

Mendengar perkataan Nabi Musa, Nabi Khidir pun berkata: “Hai Musa, kalau engkau bertanya lagi apa yang telah aku lakukan, maka engkau harus meninggalkan diriku”

Nabi Musa hanya terdiam melihat kejadian itu. Kemudian mereka berdua melanjutkan perjalanan. Setelah menempuh perjalanan yang cukup jauh, sampailah mereka berdua di sebuah desa yang penduduknya terkenal kikir. Nabi Khidir memutuskan untuk berehat di desa tersebut. kerana mereka lapar, Nabi Khidir meminta sedikit makanan daripada penduduk desa tersebut. Satu persatu penduduk rumah mereka kunjungi.

“Assalamualaikum, bolehkan kami meminta sedikit makanan untuk mengisi perut kami yang kosong?” pinta Nabi Khidir 

Namun, bukan makanan yang mereka dapatkan melainkan makian dan cacian. Nabi Musa dan Nabi Khidir hanya tersenyum saja mendengar cacian penduduk desa. Kerana tidak dapat pertolongan, mereka memutuskan meninggalkan desa tersebut. Ketika mereka sampai di perbatasan desa, Nabi Khidir melihat sebuah rumah yang hampir roboh. Saat itu juga Nabi Khidir memperbaiki rumah itu. Dalam waktu singkat, rumah itu kembali berdiri kukuh. Melihat itu Nabi Musa merasa hairan dan berkata:

“Wahai Nabi Khidir, apa yang telah engkau lakukan? Bukankah penduduk desa ini telah menghina dan mengusir kita? Bahkan kita tidak diberikan makanan sedikitpun. Mengapa engkau memperbaiki rumah penduduk itu dengan tidak meminta upah dari mereka?”

Nabi Khidir hanya tersenyum dan berkata dengan lembut kepada Nabi Musa “Wahai Musa, ternyata engkau tidak sabar dengan apa yang aku lakukan! Kalau begitu, wahai Musa cukup engkau bersamaku sampai disini”

“Baiklah, hai Musa akan aku jelaskan mengapa aku melakukan tiga perkara yang kamu anggap aneh” kata Nabi Khidir lagi.
“Tolong jelaskan apa yang telah engkau lakukan agar aku faham” sambung Nabi Musa


“Pertama, ketika aku membocorkan perahu. Ketahuilah bahwa sang pemilik perahu adalah nelayan yang sangat miskin dan hanya hidup dari perahu tersebut. Tak lama setelah kita meninggalkan tempat itu datang sekumpulan permpak yang membawa pergi perahu-perahu milik nelayan. Semua perahu yang elok dirampas oleh mereka, yang tinggal hanyalah perahu si nelayan miskin yang sebelumnya telah aku bocorkan” kata Nabi Khidir

“Kedua, ketika aku membunuh seorang pemuda. Ketahuilah bahawa pemuda itu seorang penyembah berhala. Pemuda itu hendak pulang ke rumah orang tuanya untuk mengajak mereka menyembah berhala. Sementara kedua orang tuanya sejak lama beriman kepada Allah. Aku risau orang tuanya yang sangat sayang kepada anak itu akan menuruti perintahnya untuk menyembah berhala. Lebih baik aku bunuh saja agar orang tuanya tetap beriman kepada Allah. Dan aku berharap Allah mengganti keturunan orang tua itu dengan seorang anak yang lebih baik” jelas Nabi Khidir.

“Ketiga, ketika aku memperbaiki rumah yang hampir roboh.sesungguhnya yang memiliki rumah tersebut adalah anak yang kedua orang tuanya telah meninggal. Di dalamnya terdapat harta orang tua anak yatim itu. Aku khuatir jika roboh, banyak penduduk desa yang akan merampas harta milik anak yatim tersebut. Begitulah hai Musa penjelasanku, ketahuilah bahwa apa yang telah aku lakukan merupakan petunjuk dan rahmat dari Allah” tutur Nabi Khidir menjelaskan kembali.

“Baiklah wahai Musa kita berpisah sampai di sini, kerana ilmu yang aku miliki dan yang engkau miliki sangatlah berbeza” tutur Nabi Khidir.

Setelah itu, Nabi Musa dan Nabi Khidir berpisah dan tidak bertemu kembali.

Hikmah cerita:
1. Sesungguhnya ilmu yang kita miliki hanya sedikit dibandingkan dengan ilmu Allah yang Maha luas, ilmu kita ibarat setitis air di lautan
2. Kita tidak boleh sombong dengan ilmu yang kita miliki, sesungguhnya masih ada orang yang lebih hebat dari kita
3. Dalam menuntut ilmu diperlukan kesabaran dan kesungguhan
Share:

Kesalahan Ejaan dan Tanda Baca


EJAAN KATA MAJMUK 

Lazimnya dieja terpisah kecuali hanya 15 patah perkataan yang dianggap telah mantap dieja rapat.

Salah
Betul
antara bangsa
antarabangsa
beri tahu
beritahu
bumi putera
bumiputera
jawatan kuasa
jawatankuasa
kaki tangan
kakitangan
kerja sama
kerjasama
mata hari
Matahari
olah raga
olahraga
pesuruh jaya
pesuruhjaya
setia usaha
setiausaha
suka rela
sukarela
suruhan jaya
suruhanjaya
tanda tangan
tandatangan
tanggung jawab
tanggungjawab
warga negara
warganegara


MENGEJA KATA SENDI NAMA (di- dan ke-)
(di- dan ke-) yang menunjukkan 'tempat' perlu dieja secara terpisah.

Salah
Betul
disini
di sini
diatas meja
di atas meja
diKelantan
di Kelantan
kesitu
ke situ
kehadapan rumah
ke hadapan rumah
keSabah
ke Sabah

MENGEJA AWALAN (Awalan di- dan ke-)


Salah
Betul
di tulis
ditulis
di asuh
diasuh
di bungkus
dibungkus
ke tua
ketua
ke dua
kedua
ke kasih
kekasih

Tanda Baca
Antara ke dengan angka

Salah
Betul
ke 21 atau ke21
ke-21
ke 100 atau ke100
ke-100

 Antara yang merujuk tahun dengan imbuhan akhiran an  
   
Salah
Betul
tahun 80 an atau 80an atau 80han
tahun 80-an
tahun 20 an atau 20an atau 20han
tahun 20-an

 Antara huruf kecil dengan huruf besar
·         Merujuk kepada Tuhan

Salah
Betul
hambaMu atau hamba mu
hamba-Mu
rahmatNya atau rahmat Nya
rahmat-Nya


Huruf besar bagi nama khas

Salah
Betul
pro Barat atau proBarat
pro-Barat
pan Asia atau panAsia
pan-Asia
KDN nya atau KDNnya
KDN-nya

Share:

My Profile

Salam Perkenalan

Raudhatul Mahabbah



From Kota Kinabalu

Hai!

Popular

Total Pageviews